PROGRAM LELAKI QAWWAM JOHOR 2026: PERKUKUH KEPIMPINAN KELUARGA ISLAM
ISKANDAR PUTERI, 15 Oktober – Keluarga yang kukuh bermula dengan kepimpinan lelaki yang teguh. Menyedari pentingnya peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembimbing keluarga, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menganjurkan Program Lelaki Qawwam Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 pada 15 Oktober 2026 di Hotel Sunway Bigbox, Iskandar Puteri, Johor Darul Ta'zim.
Program ini berjaya menghimpunkan lebih 400 peserta, dengan 95 peratus daripadanya terdiri daripada lelaki, sekali gus mencerminkan komitmen memperkasa ketua keluarga. Program ini menampilkan tiga pengisian utama, iaitu “Kepimpinan Lelaki dalam al-Quran dan Sunnah” oleh As-Syeikh Haji Mohd. Nasri bin Rahman, Kadi Daerah Muar; “Kesihatan Lelaki: Realiti dan Solusi” oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Radzniwan bin A. Rashid, Pakar Perubatan Keluarga dan Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia; dan “Lelaki Qawwam: Antara Peranan dan Tekanan” oleh Prof. Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, Profesor di Jabatan Siasah Syar‘iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd. Fared bin Haji Mohd. Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. Turut hadir YB Tuan Haji Anuar bin Abd. Manap, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; Tuan Haji Ahmad Wafi bin Abdullah, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor; Tuan Haji Yosree bin Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi, JAINJ; Tuan Haji Mohd Zamri bin Kambari, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, JAINJ; dan Puan Nur Fatihah binti Mohd Sidek, mewakili Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen dan sinergi berterusan antara JAKIM dan JAINJ dalam memperkasa peranan lelaki sebagai tonggak keluarga dan pembina ummah. Semoga kolaborasi ini terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai lelaki qawwam yang berwibawa memimpin dengan hikmah, melindungi dengan rahmah dan menunaikan amanah, demi membina keluarga dan generasi yang diberkati Allah SWT.











