RISE CAMP PULAU PINANG 2026: MEMPERKASA JATI DIRI REMAJA MELALUI PENDEKATAN PSIKOSPIRITUAL ISLAM
Program selama tiga hari dua malam ini melibatkan seramai 40 orang remaja lelaki Islam dari Sekolah Tunas Bakti Teluk Air Tawar (STBTAT) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Yayasan Taqwa MAIWP.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan, meningkatkan kefahaman dan menyemai penghayatan Islam dalam kalangan peserta sebagai panduan dalam kehidupan beragama, kekeluargaan serta pembinaan masa depan yang lebih baik. Pendekatan Terapi Psikospiritual Islam memberi penekanan kepada tiga elemen utama, iaitu akidah, ibadah dan akhlak sebagai asas pengukuhan rohani, pembinaan jati diri serta pembentukan sahsiah Muslim.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti interaktif yang merangkumi pengisian kerohanian dan pembangunan diri. Aktiviti-aktiviti ini dirangka bagi menggalakkan penglibatan aktif, meningkatkan kemahiran diri, mengenal pasti potensi diri serta memupuk kemahiran insaniah, semangat kerjasama dan penerapan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.
Pelaksanaan program ini merupakan antara usaha berterusan JAKIM dalam memperkasa pembangunan sahsiah dan kerohanian remaja melalui pendekatan intervensi yang holistik dan bersepadu. Pendekatan ini diharapkan dapat membantu peserta membina jati diri yang positif, meningkatkan daya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan serta membentuk hala tuju masa depan yang lebih baik berlandaskan ajaran Islam.
Majlis Perasmian RISE Camp Pulau Pinang 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Marzuki bin Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Mohamad Zaifol bin Ishak, Pengetua STBTAT.
Semoga RISE Camp terus menjadi platform bimbingan dan pemulihan kerohanian yang bermakna dalam melahirkan generasi remaja Muslim yang beriman, berakhlak mulia, berdaya tahan dan cemerlang di dunia serta akhirat.










