Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

KURSUS PASCAPERKAHWINAN ISLAM PERINGKAT HOSPITAL PUTRAJAYA TAHUN 2026

Port Dickson | 2 – 4 Oktober 2026

 

Hospital Putrajaya buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Hospital Putrajaya Tahun 2026 bagi "Fasa Semarak Kasih" dengan kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program selama tiga hari dua malam di Klana Beach Resort, Port Dickson ini melibatkan penyertaan 15 pasangan dalam kalangan warga Hospital Putrajaya.

Program ini bertujuan memperkukuh institusi keluarga melalui pengisian yang menyentuh aspek psikologi, kesihatan, pengurusan kewangan, pengurusan stres berteraskan ibadah serta pembangunan rohani bagi membentuk keluarga yang lebih harmoni, sejahtera dan berdaya tahan.

Sepanjang program berlangsung, peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti interaktif dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) seperti Masam-Masam Manis, Kenali Diri dan Azam dan Aku Janji yang memberi ruang kepada pasangan memperkukuh komunikasi, meningkatkan kefahaman serta mengeratkan hubungan suami isteri. Pengisian kerohanian seperti solat berjemaah, kuliah Subuh, tausiyah dan qiamullail turut menjadi pelengkap kepada pembangunan sahsiah dan kesejahteraan keluarga.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Suraya binti Amir Husin, Pengarah Hospital Putrajaya. Turut hadir menyampaikan ucapan aluan ialah YBhg. Dato' Marzuki bin Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM.

Semoga penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam memperkasakan institusi keluarga Islam serta melahirkan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

#JAKIM
#KSKJAKIM
#HospitalPutrajaya
#KursusPascaperkahwinanIslam
#SemarakKasih2026
#KeluargaMalaysia
#KeluargaSejahtera
#KeluargaSakinah