Kolaborasi Strategik Agensi Perkukuh Bimbingan Kerohanian Klien AADK di Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER 2026 – Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Siri 8 Tahun 2026 telah berlangsung di Masjid Zaid bin Haritsah, Kampung Sungai Mulia, Jalan Gombak, Kuala Lumpur yang disertai seramai 42 orang peserta terdiri dari klien AADK sekitar Sentul. Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama AADK Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini bertujuan memperkukuh aspek kerohanian serta penghayatan ibadah sebagai salah satu usaha menyokong proses pemulihan klien secara holistik dan berkesan.
Program telah dirasmikan oleh YBrs. Ustaz Zakariya bin Yahya, Pegawai Tadbir Agama Zon 2, JAWI yang turut dihadiri oleh YBrs. Ustaz Mohd Rashidi bin Mohd Jamil (Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pembangunan Sosial dan Komuniti) yang mewakili YBhg. Dato’ Marzuki bin Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM; YBrs. Encik Mohd Padli bin Saidin (Penolong Pegawai Antidadah) yang mewakili Pengarah AADK Wilayah Persekutuan; serta YBrs. Tuan Haji Mohd Aizul bin Adnan, Pengerusi Masjid Zaid bin Haritsah.
Pengisian program dikendalikan oleh Ustaz Hasan Basri bin Soidin, Ketua Imam Masjid Zaid bin Haritsah merangkap Guru Takmir AADK. Antara pengisian utama ialah sesi tahsin dan ibadah yang merangkumi penerangan serta praktikal wuduk, tahsin Surah al-Fatihah, solat sunat Dhuha dan solat sunat Taubat. Peserta turut mengikuti perkongsian berkaitan terapi zikir dan tazkiyatun nafs yang menekankan kepentingan penyucian jiwa, pengukuhan hubungan dengan Allah SWT serta pembentukan sahsiah yang lebih positif.
Melalui pendekatan psikospiritual Islam, peserta dibimbing untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan ibadah, di samping membina kesedaran kendiri serta kekuatan dalaman dalam menghadapi cabaran sepanjang proses pemulihan. Pengisian yang dilaksanakan diharap dapat menyemai keinsafan, memupuk nilai-nilai murni dan menjadikan amalan kerohanian sebagai sebahagian daripada usaha membina kehidupan yang lebih sejahtera.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti bersama AADK Wilayah Persekutuan, JAWI dan pihak masjid dalam memperkukuh sokongan kerohanian kepada klien. Sinergi antara agensi ini diharapkan dapat terus menjadi pemangkin kepada pemulihan yang menyeluruh, pembinaan sahsiah dan pembentukan kehidupan yang lebih baik berteraskan nilai-nilai Islam.










