Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Siri jelajah Multaqa Murabbi Ummah ke negeri-negeri seluruh Malaysia bagi tahun 2018 diteruskan lagi dengan penganjuran Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus Tahun 2018, yang telah berlangsung dengan penuh meriah pada tanggal 2 Februari 2018 bersamaan 6 Jamadil Akhir 1439H, di Klana Resort, Seremban Negeri Sembilan.

Multaqa yang dianjurkan oleh Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ini dihadiri oleh imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA dari daerah Seremban yang merupakan simbolik kepada majlis penyerahan yang akan diadakan di setiap daerah di Negeri Sembilan.  Bemula seawal jam 8.30 pagi, para peserta mendapat perkongsian ilmu daripada YB Senator Dato' Dr Asyraf Wajdi Bin Dato' Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tajuk Model Malaysia Dalam Mendaulatkan Agenda Islam dengan kupasan yang amat menarik dan berkesan.

YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan telah menyempurnakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus Tahun 2018. Pada majlis yang sama, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim telah menyampaikan dua mock cheque kepada Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus berjumlah RM30,322,008.00 bagi bayaran  imbuhan imam, elaun guru KAFA dan guru Takmir, serta RM4,849,500 bagi bayaran one-off tahun 2018 imbuhan imam,bilal dan siak, guru takmir dan guru KAFA.

Majlis turut dihadiri oleh SS Dato’ Hj. Mohd. Yusof Bin Hj. Ahmad, Mufti Negeri Sembilan, YBrs. En. Masri bin Razali, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Jakim.

 

MMU N9 1
 
MMU N9 2
 
MMU N9 3
 
MMU N9 4