Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM dengan kerjasama Masjid Negara telah mengadakan Persidangan Imam Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 pada 10 hingga 12 April 2018 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan. Peserta persidangan adalah seramai 200 orang imam terdiri daripada Imam-Imam Besar Masjid Persekutuan dan Negeri serta Imam-Imam Masjid Daerah seluruh Malaysia.

            Antara slot sepanjang persidangan ini adalah Manhaj Islam Di Malaysia: Dalam Mendepani Kepelbagaian oleh Dr. Musadad bin Hasbullah, USIM; Peranan Maqasid Syariah Dalam Urus Tadbir Negara oleh Prof. Madya Dr. Irwan Mohd Subri, USIM; Perkembangan Institusi Masjid di Malaysia Sejak Merdeka: Satu Analisis oleh Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor, U; Ekonomi: Kedudukan Semasa Ekonomi: Isu dan Cabaran oleh Puan Noraini binti Ahmad, EPU JPM. Selain itu, forum bertajuk  Rahmat Di Sebalik Perbezaan Pendapat telah dikendalikan oleh Ustaz Ameer Azeezy bin Tuan Abdullah, MAIK, manakala panel terdiri daripada Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan dan Tuan Haji Hazaruddin bin Haji Baharuddin, JAWI. Seterusnya, lawatan kerja ke Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing) Rantau Panjang turut diadakan bagi mendapatkan informasi mengenai pengurusan masjid tersebut.

            Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir dalam persidangan ini adalah Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Tuan Haji Muhammad Hana Pizi bin Abdullah, Imam Besar Majlis Agama Islam Kelantan mewakili Timbalan Yang DiPertua MAIK, Puan Hajah Hakimah binti Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, dan Tan Sri Dato' Seri Syaikh Haji Ismail Bin Muhammad, Imam Besar Masjid Negara.

            Dalam ucapan perasmian penutup, beliau menegaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat dalam memartabatkan imam sebagai murabbi masyarakat. Seterusnya beliau menyeru agar para imam sentiasa komitmen dalam meneruskan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam membantu kerajaan memperkasakan institusi masjid dan umat Islam di negara ini. Para imam         juga diminta agar dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat khususnya perkara-perkara yang berkaitan isu-isu semasa media baharu dan dasar-dasar kerajaan.

 

Sebanyak 8 resolusi telah dibentangkan hasil daripada persidangan tersebut :

1) Menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan institusi yang bebas daripada fahaman ekstrim dan sempit sebaliknya mempraktikkan sikap toleransi dalam meraikan perbezaan pendapat, idea dan budaya.

2) Menjadikan institusi masjid sebuah institusi yang berdaya saing dari aspek membekalkan informasi yang terkini, tepat dan berautoriti bagi mendepani serangan-serangan ideologi dan maklumat yang mengelirukan masyarakat.

3) Mewujudkan satu mekanisme penyelarasan bagi menilai kelayakan dan kesesuaian penempatan pegawai-pegawai masjid peringkat persekutuan, negeri, daerah dan kariah;

4) Memartabatkan profesionalisme imam dengan mempelbagaikan kemahiran dan pengetahuan  dari segenap sudut bukan sahaja dari aspek ilmu pengetahuan agama bahkan mencakupi pengurusan, pentadbiran,kewangan dan teknologi maklumat melalui peluang dan galakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi;

5) Mewujudkan elaun khas tahfiz bagi imam-imam masjid yang mempunyai kelayakan sijil tahfiz dan nilai tambah dari sudut bacaan dan kemahiran suara;

6) Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Agama dan agensi berkaitan menyalurkan peruntukan khas kepada masjid-masjid kariah secara berterusan dan tetap bagi membantu kos operasi dan penyelenggaraan masjid.

7) Meneruskan program Anugerah Masjid Malaysia sebagai galakan kepada institusi masjid untuk memperkasakan empat bidang utama iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan ekonomi;

8) Memperkenalkan Anugerah Tokoh Imam sempena sambutan hari kebesaran Islam sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan imam dalam pembangunan institusi masyarakat.

 

 

Persidangan Imam 2018 2

Persidangan Imam 2018 5

Persidangan Imam 2018

Persidangan Imam 2018 3

Persidangan Imam 2018 4