Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Isu kutipan derma yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan, mendapat liputan luas akhbar-akhbar baru-baru ini. Dalam isu ini, banyak pihak melihat isu tersebut dalam spektrum yang terhad dan menyangka hanya institusi Agama khususnya Jakim merupakan satu-satunya agensi yang bertanggungjawab menyelesaikan isu ini. Hakikatnya dari sudut undang-undang, hanya isu pungutan khairat bagi tujuan kebajikan umat Islam sahaja yang menjadi bidang kuasa perundangan Syariah.
 
Justeru itu, dalam banyak kes seperti kes pengemisan, gelandangan, pemerdagangan orang, sindiket atau unsur eksploitasi dan kes-kes lain, ianya tertakluk di bawah undang-undang lain yang sedia ada di bawah bidangkuasa agensi-agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen dan sebagainya. Di antara undang-undang yang berkaitan dengan isu pungutan derma adalah seperti yang berikut:
 
i.    Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri/ Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah;
ii.   Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)
iii.  Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)
iv.   Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) dan
v.    Akta Pungutan Rumah Ke Rumah Dan Di Jalan 1947 (Akta 200)
 
Selaras dengan itu, Jakim dengan kerjasama JAIN, agensi kerajaan dan swasta telah mengambil inisiatif untuk membangunkan pelan tindakan bagi menangani isu eksploitasi kanak-kanak melalui kutipan derma. Pelan ini dijadikan salah satu dokumen bagi menyelaras tindakan dengan beberapa agensi yang berbidangkuasa untuk mengatasi isu ini termasuk PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pelan Tindakan Bagi Menangani Kutipan Derma Di Kalangan Kanak-Kanak ini mengandungi 5 teras strategik seperti yang berikut:
 
i.    Teras Strategik 1      :           Pemantapan Peruntukan Undang-Undang
ii.   Teras Strategik 2      :           Pemerkasaan Penguatkuasaan Inter Agensi
iii.  Teras Strategik 3      :           Pengukuhan Kesahihan Maklumat
iv.   Teras Strategik 4      :           Penyelarasan Penyelidikan
v.    Teras Strategik 5      :           Peningkatan Kempen Pencegahan dan Kesedaran
 
            Sehubungan itu, Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jakim telah melaksanakan aktiviti Pemantauan dan Operasi Penguatkuasaan Isu Kutipan Derma atau Khairat Tanpa Kebenaran Majlis Agama Islam Negeri (Ops Kutip) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia yang bermula daripada 17 Jun 2015 hingga 15 Julai 2015 bersamaan 1 Ramadhan 1436 hingga 26 Ramadhan 1436H. Sepanjang sesi pemantauan dan operasi yang dilaksanakan oleh pihak Berkuasa Agama Negeri bersama Jakim, sticker dan flyers berkaitan kesedaran awam untuk menyalurkan bantuan, derma, sedekah atau khairat secara betul turut diedarkan kepada masyarakat.
 
Ops Kutip 2015 1
 
Ops Kutip 2015 2
 
Ops Kutip 2015 3
 
Ops Kutip 2015 4
 
Ops Kutip 2015 5
 
Ops Kutip 2015 6