Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah berjaya menganjurkan Karnival Islam Membawa Rahmat 2018, bertempat di Masjid Zahir dan Star Parade, Alor Setar, Kedah pada 5 hingga 6 Oktober 2018. Program ini dirasmikan oleh YB. Dato’ Dr. Ismail bin Salleh mewakili YB Dato’ Dr. Mujahid Bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Manakala Tuan Aziz bin Hj. Mohamad, Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-Undang JAKIM menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Ketua Pengarah JAKIM.

Objektif karnival antaranya :

a. Memberi pendedahan kepada peserta mengenai penguatkuasaan akta/enakmen di bawah kesalahan-kesalahan undang-undang yang berkaitan maksiat, kesalahan aqidah dan kesucian agama Islam;

b. Meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berkaitan peranan dan tanggungjawab dalam membantu pihak berkuasa bagi membendung ajaran salah dan kesalahan syariah; dan

c. Meningkatkan hubungan kerjasama antara agensi Persekutuan dan Negeri serta Badan Bukan Kerajaan khususnya dalam tindakan pemantauan dan penguatkuasaan jenayah syariah.

Karnival bermula pada 5 Oktober 2018 di Masjid Zahir dengan program Tazkirah Jumaat bertajuk Amar Makruf Nahi Mungkar yang disampaikan oleh Dr. Hazizan bin Mat Desa, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Muda. Kemudian disusuli khutbah khas bertajuk Amar Makruf Nahi Mungkar; Kecaknaan Masyarakat dan Keprihatinan Remaja yang dibaca oleh YBhg. Datuk Syeikh Roslan Bin Abdul Halim, Imam Besar Masjid Zahir. Kedua-dua program ini disiarkan melalui Radio Malaysia Kedah, yang boleh didengar secara langsung. Solat Jumaat pada hari tersebut telah dihadiri oleh lebih 2000 orang jemaah.

Pada malamnya diadakan forum yang bertajuk : Jom Pakat Beringat!; Maksiat Mengundang Musibah, Ibadah Membawa Barakah. Ahli panel pertama ialah YBhg. Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Melaka manakala ahli panel kedua ialah Ustaz Muhammad Azki Hafizi bin Ibrahim, seorang penceramah bebas. Forum dipengerusikan oleh Ustaz Haji Mohd Isa bin Haji Ab Rahman, Imam 1 Masjid Zahir. Forum ini telah dihadiri oleh lebih 600 orang jemaah.

Pada 6 Oktober 2018 (Sabtu) karnival berlangsung di Star Parade, Alor Setar, Kedah. Pelbagai acara menarik diadakan seperti program bual bicara bersama selebriti jemputan iaitu Tuan Haji Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, daripada JAKIM. Persembahan Kumpulan Buskers al-Amsyar mengiringi acara dengan mempersembahkan lagu-lagu dakwah. Bagi memeriahkan lagi karnival, Kumpulan Seni Silat Bangau Puteh telah menggemakan paluan gendang silat dan mempersembahkan seni tari silat serta perlawanan pencak silat.

Bagi memaksimumkan impak keberkesanan program, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Bahagian Pencegahan HIV/Aids dan Yayasan Waqaf Malaysia juga mengadakan pameran. Pada masa yang sama Institut al-Quran Darul Aman (IQDAR) turut sama mengadakan Klinik Al-Quran. Sempena majlis tersebut sebanyak 250 beg sekolah dan alat tulis diagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah di sekitar Alor Setar.

karnival 1

 Ucapan Alu-aluan oleh YBhg. Tuan Aziz bin Hj. Mohamad, mewakili Ketua Pengarah JAKIM

 

karnival 2

 Perasmian oleh YB Dato' Dr. Ismail bin Salleh, EXCO Agama Negeri Kedah

 

karnival 3

 Antara tetamu yang hadir dalam forum

 

karnival 4

 Forum Jom Pakat Beringat

 

karnival 5

 

karnival 6

 Penyerahan Bahan Kempen kepada wakil Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)

 

karnival 7

 Gimik Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Syariah melalui pelekat motosikal

 

karnival 8

Barisan Urus Setia JAKIM & JHEAIK