Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam; Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Ke-40 bagi Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) telah berjaya dilaksanakan bermula 19 hingga 22 Oktober 2015 bertempat di The Empire Hotel and Country Club.
 
Delegasi Malaysia bagi Mesyuarat SOM kali ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama tiga (3) orang pegawai.
 
Sebanyak tujuh (7) kertas Bidang Strategik dan empat (4) kertas Bidang Khas telah berjaya dibentang dan dibincangkan sepanjang dua hari mesyuarat tersebut berlangsung. Satu kertas kerja tema bertajuk “Jaminan Pengiktirafan Halal Negara Anggota MABIMS” telah dibentang oleh setiap negara anggota MABIMS. Kertas Tema bagi pihak Malaysia telah dibentangkan oleh YBrs. Puan Hjh. Hakimah Binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Hab Halal, Jakim.
 
Selain itu, satu kertas kerja bertajuk “Penguatkuasaan Undang-undang Dalam Pengawalan Ajaran Sesat Di Negara Anggota MABIMS” turut dibentang oleh semua negara anggota. YBrs. Tuan Haji Mohamad Nordin Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jakim membentangkan kertas tersebut bagi pihak Malaysia. Malaysia juga telah membentangkan dua kertas laporan iaitu Pelaksanaan e-Hajj berdasarkan pengalaman Malaysia oleh YBhg. Dato’ Ahmad Ruzman Bin Ahmad Razali, Pengurus Besar Operasi Domestik, Tabung Haji dan kertas laporan Simposium Pemantapan Pelan Strategik MABIMS Tahun 2015 – 2019 telah dibentangkan oleh YBrs. Tuan Haji Suhaimi bin Ali @ Ahmad, Pengarah Bahagian Perhubungan, Jakim.       
 
MesyuaratSOM kali ini sepakat untuk melaksanakan lapan (8) bidang kerjasama bagi Pelan Strategik 2016 – 2020 iaitu:
 
1.    Memperkasa Kehidupan Beragama
2.    Membangun Potensi Belia
3.    Meningkatkan Taraf Hidup Umat Islam Yang Memerlukan
4.    Meningkatkan Modal Insan Umat Islam
5.    Meningkatkan Harmonisasi Masyarakat
6.    Memperluas Peranan MABIMS Ke Dunia Luar
7.    Menyelaras Rukyah Dan Takwim Islam MABIMS
8.    Memperkasa Penyelarasan Halal MABIMS
 
Semoga dengan 8 teras strategik di atas, MABIMS akan dapat meningkatkan lagi tahap kerjasama dalam membangunkan umat Islam di negara anggota dari aspek daya tahan keagamaan dan mutu kehidupan beragama serta kesejahteraan ekonomi. Pelaksanaan teras strategik ini juga diharap dapat meningkatkan peranan MABIMS dalam program-program pembangunan dan kemanusiaan di luar rantau MABIMS demi memperkukuhkan imej Islam yang positif di mata dunia. Seterusnya, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat SOM Ke-41 dan Pertemuan MABIMS Ke-17 pada tahun 2016.
 
Mesyuarat SOM Ke 40 1
 
Mesyuarat SOM Ke 40 2
 
Mesyuarat SOM Ke 40 3
 
Mesyuarat SOM Ke 40 4
 
Mesyuarat SOM Ke 40 5