Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-59 bagi Tahun 1438H/ 2017M telah berlangsung dengan jayanya pada 15 hingga 20 Mei 2017 bersamaan 18 – 23 Sya’ban 1438H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XV Sultan Muhammad Ke-V. Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri Toh Puan Majimor Shariff, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki.
 
Qari dari Iran, Hamed Alizadeh Marghzari Gholam Hassan dan qariah dari Malaysia, Normalina Alias masing-masing diumumkan juara qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59. Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan. Hamed Alizadeh Marghzari memperoleh markah 89.96 peratus manakala Normalina memperoleh markah 91.52 peratus.
 
Sementara Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marjuki dan Dayang Siti Noor Dzuhairah Awang Damit, kedua-duanya dari Brunei muncul naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000.
 
Qari dan qariah yang memenangi tempat ketiga pula ialah Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Malaysia dan A''tiiqah Suhaimi dari Singapura yang membawa pulang wang tunai RM20,000.
 
Bagi Kategori Menghafaz Al-Quran Bahagian Lelaki, Diallo Mouhamed Al Muoudjtaba dari Senegal muncul juara, Muhammad Syazani Jemy (Malaysia) di tempat kedua dan Ammar Abdulla A. Sakini (Qatar) di tempat ketiga. Kategori Menghafaz Al-Quran Bahagian Wanita pula dimenangi Aishatu Musa Gale dari Nigeria, Zainab M.S. Hijawi (Palestin) di tempat kedua dan Ngom Ndeye Diarra (Senegal) di tempat ketiga.
 
Johan bagi Kategori Menghafaz Al-Quran menerima kepingan emas bernilai RM50,000, wang tunai RM20,000 dan piala iringan manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000.
 
Majlis tilawah yang bertemakan ''Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah'' berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra.
 
Seramai 91 peserta daripada 46 negara menyertai majlis tilawah kali ini dengan menyaksikan 22 buah negara menyertai kategori Tilawah Al-Quran dan 24 negara menyertai kategori Hafazan Al-Quran.
 
MTHQA59 Titah Agong
 
MTHQA59 Ucapan KP
 
MTHQA59 Qari 1
 
MTHQA59 Qari 2
 
MTHQA59 Qariah 1
 
MTHQA59 Qariah 2
 
MTHQA59 Hafazan Lelaki
 
MTHQA59 Hafazan Perempuan
 
MTHQA59 Persembahan Johan Qariah
 
MTHQA59 Persembahan Peserta
 
MTHQA59 VVIP
 
MTHQA59 Penonton