Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
25 Julai 2019 ; Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena istiadat pertabalan baginda di Masjid Negara. Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, turut berkenan berangkat ke majlis itu. Ketibaan baginda berdua disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Majlis berkenaan dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, dimulakan dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Isyak. Majlis ini bertujuan memohon kesejahteraan dan kesihatan baginda berdua untuk memerintah negara selama tempoh lima tahun serta memohon kesejahteraan dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia jua.

Ini kali pertama baginda menghadiri majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di Masjid Negara sejak melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lalu.
 
Majlis Bacaan Yasin Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM SPB YDPA 1
Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Maghrib ketika hadir ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena istiadat pertabalan baginda di Masjid Negara
 
Majlis Bacaan Yasin Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM SPB YDPA 2
SS Mufti Wilayah Persekutuan turut hadir ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negara
 
Majlis Bacaan Yasin Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM SPB YDPA 3
Raja Permaisuri Agong turut bersama para Jemaah wanita di Masjid Negara