Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal

Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang  (JHEAIPP) telah mengadakan Seminar Yakini Halal Malaysia pada 25 Februari 2017 (Sabtu) bersamaan 28 Jamadilawwal 1438H bertempat di Dewan Seminar Spice Arena, Pulau Pinang. Seminar ini diadakan bersempena dengan penganjuran  Ekspo dan Persidangan Antarabangsa Halal Pulau Pinang Ke-8 yang diadakan di Spice Arena pada 24 hingga 26 Februari 2017..

Program ini merupakan sebahagian daripada Kempen ‘Yakini Halal Malaysia’ sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran serta mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap pensijilan halal yang dikeluarkan oleh JAKIM/JAIN/MAIN di samping mempromosi Malaysia sebagai pusat rujukan global dan pusat pengeluaran, perdagangan serta inovasi halal.

Seramai 250 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang serta pelajar-pelajar dari IPTA/S di sekitar Pulau Pinang dan Perlis telah hadir ke program ini. Program yang julung kalinya diadakan di negeri Pulau Pinang ini juga, merupakan medium terbaik bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai isu-isu halal yang relevan kepada para peserta di Pulau Pinang.

Antara pengisian topik yang dibentangkan dalam seminar ini ialah “Halalan Toyyiban Tanggungjawab Bersama” yang telah disampaikan oleh Dr. Aqli bin Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah. Manakala topik “Isu-Isu dan Cabaran Halal di Malaysia” disampaikan oleh Ustaz Amri bin Abdullah, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hab Halal, Jakim.

Majlis perasmian penutup Seminar Yakini Halal Malaysia peringkat Negeri Pulau Pinang ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg.Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee, Pengarah Bahagian Hab Halal, Jakim. Seterusnya ucapan perasmian telah disempurnakan oleh  YB Dato' Haji Abdul Malik Bin Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YBhg. Dato' Haji Sazali Bin Hussein, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang  (JHEAIPP) serta   pegawai-pegawai kanan JHEAIPP.

Setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakankannya. Semoga usaha meningkatkan kesedaran halalan toyyiban kepada masyarakat khususnya peserta seminar ini tercapai berdasarkan objektif yang disasarkan.

 

SYH DPN HALAL PP2017

syhPP2017 1

SYH PP2017 3

SYH PP2017 4

SYHPP 2017 5