Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal

PULAU PINANG, 11 November 2017 - Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah menganjurkan program Halal Walkabaout & Treasure Hunt 2017 kepada golongan pendidik yang telah diadakan di Pasaraya Tesco, Jelutong, Pulau Pinang. Program ini merupakan salah satu daripada kempen kesedaran halal yang telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang bersama Tesco Stores (MALAYSIA) Sdn. Bhd.

Program bermula dengan Sesi ‘Walkabout Halal’ bertajuk Viral - “Semak Sebelum Sebar” yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Asyraf bin Ibrahim, Penolong Pengarah, Bahagian Hab Halal, Jakim. Beliau telah mengupas mengenai pelbagai isu halal yang menjadi keresahan di kalangan pengguna di luar seperti senarai ‘kod E’ yang dikatakan dari sumber haram, isu viral di media sosial, pemantauan dan penguatkuasaan serta pematuhan prosedur pensijilan halal Malaysia. Para peserta kemudiannya turut menyertai program ‘Halal Treasure Hunt’ di mana kesemua peserta dikehendaki menyelesaikan 10 soalan dalam tempoh 1 jam di dalam pasaraya Tesco. Antara tugasan yang perlu diselesaikan oleh peserta adalah mencari produk yang mempunyai ‘kod E’ berlogo halal, logo halal Badan pensijilan Halal Luar Negara Yang Diiktiraf, menyelesaikan teka silang kata dan mencari produk yang menggunakan bahan tambah dalam makanan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Pengarah Bahagian Hab Halal, Jakim diiringi oleh YBrs. Ustaz Faizal bin Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YBrs. Ustaz Abd Rahman bin Che Soh, Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Tuan Mohd Ghazali bin Abu Bakar, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Turut hadir bersama ialah Mr. Yew Yoong Sin, Pengarah Operasi Stor Bahagian Utara Tesco Malaysia.

 Program ini telah berakhir pada jam 2.00 petang dengan penyempurnaan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Pemenang tempat pertama telah berjaya membawa pulang baucar membeli belah bernilai RM1000.00 bersama hamper barangan sumbangan Pasaraya Tesco, manakala tempat kedua memenangi baucar membeli belah sebanyak RM800 dan hamper barangan. Tempat ketiga pula, telah berjaya memenangi baucar membeli belah sebanyak RM500 serta hamper barangan,  manakala lain-lain kumpulan turut membawa pulang hadiah saguhati iaitu baucar membeli belah bernilai RM100 berserta hamper barangan sumbangan daripada pihak TESCO.

            Semoga program sebegini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya para pendidik mengenai kepentingan menggunakan produk-produk yang telah disahkan halal di pasaran serta menilai kebenaran sesuatu berita sebelum disebarkan. “Yakini Halal Malaysia”.