Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Unit Indeks Syariah Malaysia telah bekerjasama dengan Majlis Islam Sarawak (MIS), Pejabat SUK Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak menganjurkan Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri Sarawak pada 1 Oktober 2015 bertempat di Hotel Hilton, Kuching. Wacana yang berlangsung ini telah dihadiri seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada ADUN Negeri Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan Pesekutuan dan Negeri, Ketua-Ketua Pemimpin Masyarakat dan Pegawai-Pegawai Agama.
 
Wacana ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan turut hadir YBhg Datu Haji Putit, Majlis Islam Sarawak. Wacana ini berobjektifkan untuk memberi kefahaman dan penerangan kepada kumpulan Pembuat Dasar, Pelaksana Dasar dan Masyarakat tentang pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia. Sejak dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, negeri Sarawak menjadi destinasi kedua siri jelajah penerangan Indeks Syariah Malaysia secara wacana ilmiah setelah penerangan secara interaktif melalui media sosial dan laman maya.
 
Dua kertas kerja turut dibentangkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dato' Dr Abdul Shukor Haji Husin (Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia) bertajuk Model Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan kertas kerja oleh Prof Dr. Abdul Samat Musa (Panel Indeks Syariah Malaysia) bertajuk Pengukuran dan Pembudayaan Indeks Syariah Malaysia dalam Organiasasi dan Masyarakat. 
 
Prof Emeritus Tan Sri di dalam pembentangannya menyatakan bahawa Unit Indeks Syariah Malaysia, Jakim telah melantik 5 buah Universiti terdiri daripada 40 orang Penyelidik dalam 8 bidang pengukuran iaitu Undang-Undang, Politik, ekonomi, pendidikan, sosial, prasarana, budaya dan kesihatan. Menurut beliau lagi, penilaian ini berteraskan Maqasid Syariah yang bersifat sejagat dan tetap serta boleh diterima oleh semua pihak bukan sahaja Umat Islam bahkan bukan Islam.
 
YB Timbalan Menteri menyatakan ucapan terima kasih dan tahniah kepada MIS, SUK Sarawak, JAIS kerana sudi bekerjasama dengan Jakim mengajurkan Wacana Eksekutif ini. Selain itu, beliau turut mengulas tentang peri pentingnya Indeks Syariah Malaysia dalam memastikan urus tadbir negara berteraskan Islam. 
 
"Dunia sedang melihat Malaysia dan sering menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk membangunkan Islam dalam pentadbiran. Oleh itu, dengan lahirnya Indeks Syariah Malaysia akan melengkapkan lagi urus tadbir Islam di Malaysia dan menjadikan kita sebagai sebuah negara Islam contoh", ujarnya. 
 
Turut diserahkan Kit Indeks Syariah Malaysia yang mengandungi Profil Korporat, Model ISM, Info Ringkas berkaitan Indeks Syariah Malaysia kepada MIS untuk diagihkan kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Selepas ini, Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia akan bergerak ke beberapa buah negeri lagi bagi memberi penerangan dan penjelasan agar produk Indeks Syariah Malaysia diterima oleh semua pihak, Insyallah.
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 2
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 3
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 4
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 5
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 6
 
Sarawak Sambut Baik Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 7