Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Buat julung-julung kalinya 48 orang daie Sabah dan Sarawak telah berkumpul di Kem Bina Negara, Kundasang, Sabah dari 1-5 November 2015 bagi menghadiri Ijtimak Daie dan Program Transformasi Minda dan Pemantapan Sahsiah Daie Sabah dan Sarawak. Gabungan peserta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Cawangan Sabah dan Sarawak, Pegawai Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Daie HIKMAH Sarawak dan Penggerak Masyarakat Saudara Kita (PMSK) Sabah dan Sarawak telah dihimpunkan dalam dua program yang telah diatur hasil kerjasama Bahagian Dakwah, Jakim, Putrajaya bersama-sama Jakim Cawangan Sabah, Jakim Cawangan Sarawak, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri.
 
3 hari pertama mengikuti program Ijtimak, para peserta diberi pendedahan dan perkongsian pengalaman oleh para penceramah yang berpengalaman. Antara pengisian yang diberi adalah teknik komunikasi berkesan dalam menyampaikan dakwah, bagaimana untuk berdepan dengan cabaran media baharu dalam berdakwah, bagaimana untuk menangani ancaman kristianisasi dalam kalangan saudara kita dan tidak lupa suntikan semangat kepada para daie dalam meningkatkan jati diri mereka agar gerak kerja dakwah lebih mantap dan meninggalkan kesan kepada mad’u. Manakala 2 hari terakhir dipenuhi dengan pengisian oleh Biro Tata Negara.
 
Sepanjang 5 hari menadah ilmu di kaki Gunung Kinabalu, tampak riak wajah peserta yang berpuas hati dapat berkongsi pengalaman serta bertukar-tukar pandangan dengan para penceramah, fasilitator dan jurulatih kem. Selain itu, para peserta turut dibawa turun ke lapangan dalam aktiviti yang diatur khas di perkampungan masyarakat saudara kita. Ketibaan rombongan peserta kursus yang diketuai oleh YBrs. Ustaz Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah (Kanan) Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah disambut mesra oleh para penduduk kampung.  Ahli rombongan disajikan dengan persembahan tarian Sumazau oleh beliawanis etnik Dusun, Kg Dumpiring Atas. Paling menarik adalah perkongsian pengalaman dengan para malim gunung berhubung tragedi gempa bumi di kawasan pergunungan Kinabalu pertengahan tahun ini. Acara kemuncak adalah penyampaian sumbangan kepada masyarakat saudara kita yang kurang bernasib baik.
 
Program lawatan berakhir dengan jamuan makan tengah hari kepada semua tetamu dan jemputan yang hadir. Hidangan istimewa etnik Dusun telah disediakan oleh kaum ibu Kg Dumpiring Atas berupa nasi lenopot (nasi daripada beras merah yang dibungkus dalam daun seakan-akan daun pokok ketapang), tuhau(sejenis kerabu daripada bunga kantan dan daun pepijat) serta lauk-pauk lain.
 
Majlis penutup program diserikan dengan kehadiran YB Datuk Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, merangkap Menteri Agama Sabah. YBhg Dato’ Haji Ali bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah memulakan majlis mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif. Dalam ucapan beliau, YB Datuk menitip pesan kepada para Daie agar sentiasa cekal melaksanakan kerja-kerja dakwah walau terpaksa berhadapan dengan seribu cabaran. Para Daie juga diingatkan supaya mempamerkan perilaku yang terbaik dalam menambat hati para mad’u supaya mencintai Islam.
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 1
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 2
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 4
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 5
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 7
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 8
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 9
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 10
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 12
 
Jejak Daie di Bumi Kundasang 14