Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Jakim tetap relevan... Inilah ketegasan yang telah dinyatakan oleh YBhg Dato’ Haji Othman Bin Mustapha Ketua Pengarah JAKIM susulan wujudnya tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan JaKIM perlu dimansuhkan. Jakim sebagai agensi agama di Peringkat Persekutuan rasmi memang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Agama Rasmi dan merupakan agensi pusat yang telah diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-raja yang memainkan peranan yang amat besar dalam menyelaraskan isu-isu berkaitan hal ehwal Islam.  
 
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan majlis Penutupan Seminar Pengurusan Anak Yatim yang telah diadakan pada 20 November 2015 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia ILIM, Bangi Selangor.
 
Seminar Pengurusan Anak Yatim anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) ini, telah berjaya mengumpulkan sasaran dari kalangan mereka yang menguruskan kebajikan hal ehwal anak yatim.
 
Inisiatif ini merupakan satu usaha dakwah bagi melahirkan pengurus yang berintegriti dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi yang akhirnya mampu mewujudkan bentuk pengurusan yang mantap berteraskan syariat Islam demi menjaga Maqasid al Syariyyah.
 
Seminar ini turut menjemput Y.Bhg Puan Nor Asikin binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kanak-Kanak, JKMM selaku pembentang kertas kerja yang bertajuk “Isu Pembelaan dan Kebajikan Kanak-kanak”.
 
Sementara slot Forum menampilkan 2 orang ahli panel yang tidak asing lagi yang pernah berkecimpung dalam menguruskan hal ehwal anak yatim iaitu YM. Prof. Dato’ Dr. Hj. Tengku Mahmud bin Mansor, Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan Y.Bhg Prof. Dr. Azizan bin Ahmad, Pensyarah dari UKM dan dikendalikan oleh Ustaz Zakaria bin Othman selaku Moderator forum.
 
Sesi forum ini ternyata berjaya mengupas beberapa isu utama antaranya isu wujudnya pihak yang tidak amanah yang sanggup menggunakan nama anak yatim ini untuk meminta derma dari orang ramai semata-mata untuk mencapai matlamat tertentu serta sanggup mengambil harta anak yatim yang akhirnya menimbulkan persepsi yang kurang baik dan masyarakat tidak lagi bersikap ihsan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ini.
 
Jadi, usaha yang berterusan yang lebih proakti wajar dipikul secara bersama oleh semua pihak bagi membendung tindakan yang tidak bertanggungjawab ini dari terus berleluasa. Ini boleh dicapai melalui pengurusan yang efisyen dan dinamik yang mampu menyumbang kepada kemajuan agama, masyarakat, bangsa dan negara demi memenuhi aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif dan berdisplin.
 
Oleh kerana itulah penganjuran seminar ini juga turut membuktikan bahawa Jakim sentiasa prihatin dan akan tetap relevan dari dulu, kini dan selamanya demi memartabatkan syiar Islam.
 
seminar anak yatim 2015 1
 
seminar anak yatim 2015 2
 
seminar anak yatim 2015 2
 
seminar anak yatim 2015 3
 
seminar anak yatim 2015 4
 
seminar anak yatim 2015 5