Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Usaha memberi ruang dan peluang beragama khususnya kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan tuntutan fardhu kifayah dan wajib dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika ditinjau dalam konteks pendidikan agama dalam kalangan OKU khususnya dalam kalangan anak-anak istimewa, ruang dan peluang mereka untuk merasai indahnya hidup beragama boleh dikatakan hampir tiada terutama bagi kategori yang mengalami masalah pendengaran dan masalah pembelajaran.
 
Bagi mencapai matlamat ini, Jakim sentiasa optimis menjalinkan kerjasama secara inovatif dan strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam iaitu Yayasan Faqeh dan kelab sukarelawan Dakwah OKU daripada kalangan mahasiswa universiti awam iaitu Kelab Sahabat FAQEH@USIM {SaF@USIM] yang juga mempunyai matlamat yang sama ke arah memberikan perkhidmatan pendidikan spiritual dan kebajikan kepada warga anak OKU melalui program Seminar Pendidikan al-Quran Bagi Anak Istimewa pada 26 Mac 2016 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).
 
Seminar yang dihadiri oleh seramai 200 orang peserta ini telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Ali bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim mewakili Dato’ Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim.
 
Pengisian seminar ini bermula dengan slot Bicara Hati Bersama Ustazah Hajjah Zawiah binti Hassan, Mantan Ketua Penolong Pengarah Jakim dan diikuti dengan sesi Forum bertajuk Anak Istimewa dan Terapi Qurani yang telah dikupas begitu menarik oleh dua orang Panel iaitu SS Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dan Tuan Haji Mohd Zaini Mat Abas, Pengerusi Yayasan Pendidikan al Quran Bagi Anak Istimewa, Yayasan FAQEH.
 
Sementara dalam slot Jom Dhuha pula telah berlangsung di Bilik Ibn Khaldun yang melibatkan anak-anak istimewa seramai 34 orang yang terdiri daripada pelbagai kategori OKU. Mereka didedahkan dengan asas fardhu ain seperti aktiviti berwuduk, solat Dhuha dan berzikir mengikut tahap dan kemampuan masing-masing di bawah kendalian 40 orang sukarelawan Kelab Sahabat FAQEH@USIM. Ternyata program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
 
Seminar Pendidikan al Quran Bagi Anak Istimewa 1
 
Seminar Pendidikan al Quran Bagi Anak Istimewa 2
 
Seminar Pendidikan al Quran Bagi Anak Istimewa 3
 
Seminar Pendidikan al Quran Bagi Anak Istimewa 4