Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Jakim melalui Bahagian Dakwah telah menganjurkan program Luncheon Talk bersama Penjawat Awam Orang Asli Islam kali kedua pada 14 Oktober 2017. Program yang berlangsung di Hotel Shangri La Putrajaya ini melibatkan penyertaan lebih 60 orang terdiri daripada penjawat awam orang Asli Islam daripada pelbagai skim dan gred dari seluruh Malaysia. Program ini telah diadakan secara kerjasama dengan rakan strategik Jakim iaitu Yayasan Taqwa MAIWP dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Pelaksanaan program ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan interpersonal dalam kalangan penjawat awam orang Asli Islam, mengukuhkan hubungan silaturahim dan memudahkan perkongsian maklumat secara lebih cepat dan pantas serta sebagai platform untuk bertukar-tukar idea dan pandangan khususnya dalam usaha memperbaiki dan memperkasakan strategi dakwah kepada masyarakat orang Asli yang masih belum Islam. Program Luncheon Talk merupakan salah satu daripada inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Hala Tuju Dakwah Masyarakat Orang Asli di bawah kendalian Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah Jakim. Penganjuran program ini juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan Malaysia yang menggalakkan pelaksanaan pelbagai program berasaskan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Program Luncheon Talk telah dimulakan dengan tayangan video berkaitan dengan aktiviti-aktiviti  dakwah di perkampungan Orang Asli yang telah mendapat liputan di TV1 dan turut dimuatkan dengan sesi dialog berkaitan pembangunan jati diri masyarakat Orang Asli bersama dengan ahli panel Dr. Halida Yu, pensyarah Universiti Teknologi Mara dan Ustaz Mohd Zaidi bin Ramli, Timbalan Yang Dipertua YADIM. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, YBhg Datuk Haji Zainal Abidin bin Jaffar.

Diharapkan program seumpama ini akan terus mendapat sokongan dan dukungan padu daripada pelbagai pihak serta dapat dilaksanakan lagi pada tahun hadapan bagi membentuk jalinan ukhuwah dan mahabbah yang lebih mantap khususnya antara Jakim dan masyarakat orang Asli di Malaysia.
 
Luncheon Talk 1
 
Luncheon Talk 2
 
Luncheon Talk 3
 
Luncheon Talk 4
 
Luncheon Talk 5