Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Pada 26 dan 27 Oktober 2017, Jakim melalui Cawangan Dakwah Khas sekali lagi telah menganjurkan kursus dan peperiksaan lesen radio amatur khusus untuk Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), bertempat di Aras 2, Blok B, Kompleks Islam Putrajaya. Kursus yang mengambil masa selama dua hari ini telah disertai lebih daripada 50 orang PMOA dari seluruh negeri.

Kursus ini telah diadakan bertujuan memberi penerangan dan bimbingan kepada PMOA Jakim mengenai cara pengendalian radio amatur yang betul sebagai medium komunikasi dalam jarak yang jauh. Penerangan berkaitan penggunaan radio amatur ini telah disampaikan oleh penceramah dari Malaysian Amateur Radio Transmitter Society (MARTS).

Peserta juga turut didedahkan dengan akta-akta dan peraturan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang berhubung kait dengan tatacara penggunaan radio amatur. SKMM merupakan salah sebuah badan yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan mengendalikan Stesen Radio Amatur dan mempunyai autoriti mengeluarkan lesen bagi mereka yang telah lulus menduduki ujian Peperiksaan Radio Amatur.

Dalam kursus ini, para peserta turut dikehendaki menduduki peperiksaan bertulis khas bagi mendapatkan lesen penggunaan radio amatur secara sah oleh SKMM. Penggunaan radio amatur membolehkan para peserta berhubung antara satu sama lain walaupun berada di kawasan pedalaman dan terutamanya di tempat-tempat yang tiada signal dengan menggunakan frekuensi yang telah ditetapkan oleh pihak SKMM.
 
kursus exam radio amatur 1
Peserta diberi penerangan berkaitan radio amatur.
 
kursus exam radio amatur 2
Khusyuk mendengar penerangan yang disampaikan.
 
kursus exam radio amatur 3

Penceramah dari SKMM.

 
kursus exam radio amatur 4
 
kursus exam radio amatur 5
Peserta menjawab soalan peperiksaan.