Kurator Berita : Bahagian Dakwah
ZIARAH MAHABBAH MENYANTUNI KAUM INDIA DI KAMPUNG NIGEL GARDNER, KUALA KUBU BARU, SELANGOR
 
Tanggal 28 Julai 2019, Bahagian Dakwah JAKIM melalui Cawangan Kefahaman Islam sekali lagi telah berjaya menganjurkan program Ziarah Mahabbah dan Rahmatan Lil Alamin di Estet India Kampung Nigel Gardner, Kuala Kubu Bharu Selangor. Program ini telah berjalan selama sehari dengan kerjasama Komuniti Kaum India Bukit Tagar,Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Persatuan Kebajikan Islam Malaysia( PERKIM) Negeri Selangor dan Cawangan Serendah, Kuala Kubu Bharu, Balai Polis Kerling, Majlis Daerah Hulu Selangor, Masjid Sungai Tengi dan Masjid Jamek Kampung Nigel Gardner. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Ketua Komuniti Kaum India Bukit Tagar, Puan Manimagalai, disusuli ucapan daripada Ustaz Mohd Fitri Bin Abdullah, Pengerusi PERKIM Negeri Selangor, seterusnya ucapan penghargaan daripada Nazir Masjid Jamek Kampung Nigel Gardner, Ustaz Nazri dan di akhiri ucapan daripada Penyelaras Program, Ustaz Razali Bin Ahmad.

Program Ziarah Mahabbah kepada kaum India merupakan program yang julung-julung kali diadakan oleh Bahagian Dakwah JAKIM. Matlamat program ini adalah untuk menampilkan agama Islam merupakan agama Rahmatan Lil Alamin kepada semua bangsa yang ada di Malaysia. Selain itu masyarakat India merupakan masyarakat yang mudah di dekati berdasarkan sambutan kehadiran yang diberikan untuk program ini adalah agak memberansangkan dan mereka juga menerima baik kedatangan para sukarelawan Islam yang datang berziarah. Program ini telah berjaya menyantuni lebih daripada 200 orang penduduk kampung yang majoritinya non-Muslim.

Program ini telah diisi dengan beberapa acara seperti sukaneka bersama penduduk kaum India dan Melayu, jamuan makan secara beramai ramai, sesi taaruf dan ramah mesra secara santai bersama kaum India. Antara sukaneka yang dipertandingkan bagi mewujudkan kemesraan bersama penduduk seperti acara memanah, pertandingan sepak takraw dan pertandingan bola pingpong. Usai acara sukaneka bersama penduduk, program dimeriahkan lagi dengan sesi ziarah mahabbah dari rumah ke rumah. Sesi ziarah ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan kemesraan dan kasih sayang antara kaum India dan masyarakat Melayu yang berhampiran bagi tujuan meringankan beban melalui sumbangan barangan keperluan dapur yang diberikan di samping mengenali kaum India dengan lebih rapat ke arah membina suasana hidup yang lebih harmoni dan bersatu padu. Di harapkan program sebegini mampu menjadi titik perubahan membawa bangsa Malaysia ke arah merealisasikan matlamat gagasan Negara Rahmah yang hidup saling hormat menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.
 
Ziarah Mahabbah Kaum India Kampung Nigel Gardner 1
 
Ziarah Mahabbah Kaum India Kampung Nigel Gardner 2
 
Ziarah Mahabbah Kaum India Kampung Nigel Gardner 3
 
Ziarah Mahabbah Kaum India Kampung Nigel Gardner 4
 
Ziarah Mahabbah Kaum India Kampung Nigel Gardner 5
 
Ziarah Mahabbah Kaum India Kampung Nigel Gardner 6