Jakim melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara 2015 pada 3-4 November 2015 bertempat Johor Baharu. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Y.Bhg. Tuan Halim bin Ahmad Pengarah, Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM.
Objektif utama bengkel ini ialah untuk menghasilkan metode gerak kerja ke arah pelaksanaan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan. Program ini juga bertujuan untuk mendapat maklumat berkaitan pelaksanaan Dasar Keluarga Sakinah di Johor. Hasil perbincangan diharap dapat digunakan untuk penambahbaikan dari sudut gerak kerja pelaksanaan Dasar Keluarga Sakinah Negara. Seterusnya pelan ini akan diangkat dalam mesyuarat-mesyuarat utama seperti Persidangan Ketua Jabatan (PKJ) dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Pelan tindakan ini akan dilaksanakan secara holistik oleh pegawai-pegawai JAKIM, JAIN, MAIN, Institusi Pendidikan, agensi kerajaan yang berkaitan dan NGO’s Islam. Adalah diharapkan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara dapat dilaksanakan bagi membangunkan keluarga yang aman damai dan produktif serta diredhai Allah di negeri-negeri seluruh Malaysia untuk tindakan dan usaha yang lebih sepadu, sistematik dan islamik.
Taklimat mengenai Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negaratelah disampaikan oleh Puan Sabariah binti Salleh, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian KSK. Manakala taklimat berkaitan pelaksanaan Modul Keluarga Sakinah Negeri Johor telah disampaikan oleh Tuan Haji Rais bin Dato‘ Haji Abu Bakar dari Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Johor. Ahli-ahli bengkel turut berpeluang untuk membuat lawatan kerja ke Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Johor Darul Takzim.
Terdapat 5 Teras strategi Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara. Butirannya sebagaimana di bawah:
1. Memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam secara syumul bagi melahirkan keluarga yang sakinah;
2. Memperkasakan keupayaan organisasi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan keluarga dan komuniti;
3. Memperkukuhkan pengurusan kekeluargaan melalui bidang penyelidikan dan pembangunan ;
4. Penyelarasan dan penyeragaman undang-undang keluarga Islam seluruh Malaysia; dan
5. Kerjasama strategik dan ukhuwah Islamiyyah ke arah penyatuan ummah
Ahli bengkel terdiri daripada pegawai-pegawai kanan yang mewakili Jabatan Agama Islam Negeri dan bahagian-bahagian di Jakim.



