Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
PENATARAN KURIKULUM BAHARU KAFA
SIRI 1 ZON TENGAH
 
Bangi Bangi, 15 hb Julai 2019 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Pendidikan telah mengadakan Kursus Penataran Kurikulum baharu KAFA yang akan mula digunapakai oleh pelajar Tahun Satu tahun 2020.
 
Kursus yang telah dijalankan pada 9 hingga 11 Julai 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah dihadiri oleh 100 orang penyelia dan guru KAFA Negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. Tiga orang penceramah dari Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi iaitu Dr. Mohd Bakri bin Aziz@Saari, Dr. Khairul Anuar bin Abu Othman dan Dr. Muhamad Ziyad bin Mokhtar telah menyampaikan 6 slot ceramah sepanjang kursus dijalankan.
 
Antara objektif kursus adalah untuk memberi pendedahan kepada Guru dan Penyelia KAFA berkenaan pelaksanaan dan penggunaan Kurikulum Baharu KAFA yang akan mula digunapakai tahun 2020. Disamping melatih dan memberi kemahiran pengajaran dan pembelajaran kepada Guru dan Penyelia KAFA mengikut Kurikulum Baharu KAFA.
 
Kursus tersebut juga bertujuan melahirkan Jurulatih Utama (JU) yang terdiri daripada Guru KAFA yang mempunyai kemahiran dalam penggunaan Kurikulum Baharu KAFA dan menyebarluaskan Kurikulum Baharu KAFA kepada guru dan penyelia KAFA di Malaysia
 
YBhg Puan Hajah Zaitun bt Abd Rahman, Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM telah merasmikan kursus tersebut dan telah memberi maklum penambahbaikan Kurikulum KAFA memberi penekanan kepada 4 aspek berikut :
  1. Menekankan aspek adab dan nilai dalam kurikulum KAFA menerusi penghayatan secara praktikal, simulasi dan merentasi kurikulum mata pelajaran yang lain.
  2. Menambah mata pelajaran Tahfiz Al-Qur’an sebagai persediaan pelajar mengikuti aliran tahfiz di peringkat sekolah menengah.
  3. Memperbanyakkan elemen komunikasi dan memperkayakan mufradat dalam Bahasa Arab.
  4. Penumpuan kepada Tilawah Al-Qur’an melalui kaedah Iqra’.
 
Penataran Kurikulum Baharu KAFA Siri 1 Zon Tengah 1
 
Penataran Kurikulum Baharu KAFA Siri 1 Zon Tengah 2
 
Penataran Kurikulum Baharu KAFA Siri 1 Zon Tengah 3
 
Penataran Kurikulum Baharu KAFA Siri 1 Zon Tengah 4