Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan
BALING- 28 SEPTEMBER 2015- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) melalui Bahagian Dakwah telah mengadakan program Peduli Masyarakat Sempena Qurban Bersama Korporat 1436H. Program ini telah diadakan di Kampung Bukit Endoi, Baling, yang mana kedudukannya bersempadan dengan daerah Sik. Program ini diadakan dengan kerjasama erat, daripada  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) ,Yayasan Taqwa, Yayasan Felda, FELDA, PUSRAWI, PICOMS dan Kelab 4W4C.
 
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membantu masyarakat setempat dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai penoreh getah, yang pendapatannya tidak menentu di musim hujan dan harga getah yang rendah. Justeru itu, program ini diadakan tepat pada masanya, di kala mereka memerlukan bantuan sudut keperluan asas untuk meringankan beban mereka  dalam meneruskan kehidupan seharian.
 
Antara aktiviti yang disusun dalam program ini adalah kenduri  bersama masyarakat setempat. Sebanyak 2 ekor lembu telah ditumbangkan untuk dijadikan sebagai santapan bersama penduduk kampung.  Khidmat nasihat dan rawatan kesihatan juga telah disediakan oleh pihak PUSRAWI dan PICOMS. Selain itu, sumbangan barangan seperti beras dan keperluan asas lain juga, telah disampaikan kepada penduduk kampung, yang hampir 95 peratus mereka adalah menoreh getah. Ada yang menoreh kebun sendiri, dan ada yang mengambil upah menoreh daripada kebun orang lain. Sumbangan keperluan ini, adalah hasil sumbangan daripada pihak Yayasan Taqwa, dan Yayasan Felda. Terdapat sebanyak 3 buah surau di kampung tersebut telah menerima sumbangan berbentuk sejadah, yang mana telah disumbang oleh pihak FELDA. Program ini, bukan sekadar sumbangan  sudut jasmani, bahkan slot rohani iaitu Bicara Agama juga telah disusun, bagi memberi pengetahuan agama kepada masyarakat setempat, agar seimbang di antara kerja dunia dan kerja akhirat.
 
Program Peduli Masyarakat ini telah disempurnakan oleh YBhg. Ustaz Ruslan bin Said, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah Jakim, bagi menggantikan YBhg. Dato’ Haji Razali Bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim. Turut hadir dalam program tersebut, Pengurus Besar Yayasan Taqwa, YBhg. Tuan Haji Zabidi bin Nassan, dan YBhg. Tuan Haji Mat Karim bin Ujang, Timbalan Pengarah, Yayasan Felda serta YBhg. Ustaz Yahya bin Harun, Penyelaras Masjid Daerah Baling, mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Secara keseluruhannya, program ini adalah sangat berjaya, kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat kampung, dan program ini juga adalah yang pertama diadakan di kampung mereka. Mudah-mudahan dengan tapak yang dibina oleh pihak Jakim dan rakan kerjasama ini, dapat memberi peluang kepada pihak-pihak lain dalam membantu saudara kita yang memerlukan dan mudahan juga menjadi amal jariah kita serta bekalan bila bertemu dengan Allah SWT nanti. Wallahua’lam

 

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 1

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 2

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 3

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 4

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 5

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 6

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 7

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 8

Program Peduli Masyarakat Qurban Bersama Korporat 1436H 9