Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan
PERASMIAN SURAU KAMPUNG ORANG ASLI KUALA KOYAN, LIPIS PAHANG
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah mengadakan Program “Cakna Ummah dan Majlis Perasmian Surau Kampung Orang Asli Kuala Koyan” bertempat di Kampung Orang Asli Kuala Koyan, Lipis Pahang. Program yang berlangsung selama 2 hari ini bermula pada 23 Februari hingga 24 Februari 2016 adalah bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli di daerah Lipis dengan misi utama untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan masyarakat Orang Asli yang beragama Islam.
 
Seramai 30 orang yang terdiri daripada Penggerak Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang (Zon Barat), Pegawai daripada Jakim dan juga JAIP  telah terlibat dalam program ini melalui pengisian pelbagai aktiviti dalam memastikan penduduk-penduduk Orang Asli Kuala Koyan yang beragama Islam dapat mempelajari serta menambah pengetahuan berkaitan Islam. Malah penganjuran program seumpama ini juga merupakan sebuah platform serta medium dakwah kepada masyarakat Orang Asli bukan Islam bagi mendekati agama Islam.
 
Kemuncak kepada program ini adalah Perasmian Surau Kampung Orang Asli Kuala Koyan yang baru siap dibina oleh Jakim pada penghujung tahun 2015. Majlis Perasmian ini telah disempurnakan oleh YH Dato’ Haji Mohamad Noor Bin Abdul Rani, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang. Turut hadir dalam Majlis Perasmian ini adalah Tuan Mohd Zaidi Bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAKIM, Tuan Haji Zakaria Bin Haji Mohamed, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Al-Fadhil Tuan Khadi Daerah Lipis. Antara wakil-wakil agensi lain yang turut terlibat dalam merealisasikan majlis ini adalah Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan Daerah Lipis dan Jabatan Pendidikan Daerah Lipis.
 
Dalam ucapan beliau, YH Dato’ mengharapkan agar surau yang baru siap dibina ini menjadi pusat kegiatan pelbagai aktiviti dan menjadi pusat penyatuan dan perpaduan penduduk kampung tanpa mengira fahaman dan agama. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah membina surau tersebut. Beliau mengharapkan Penggerak Masyarakat Orang Asli dan Briged Dakwah daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dapat mengimarahkan surau dengan kelas-kelas pengajian dan fardu ain untuk masyarakat Orang Asli. Simbolik penyerahan surau telah disempurnakan oleh Tuan Mohd Zaidi Bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah Jakim kepada Tuan Haji Abu Bakar Bin Ismail, Al-Fadhil Kadhi Daerah Lipis.
 
Dalam majlis yang penuh makna ini juga, seramai 5 orang Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Kuala Koyan, Lipis Pahang telah melafazkan kalimah Syahadah yang dipimpin oleh YH Dato’ Haji Mohamad Noor Bin Abdul Rani, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang dan disaksikan oleh rombongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 1
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 2
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 3
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 4
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 5
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 6
 
Perasmian Surau Kampung Orang Asli 7