Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal
PUTRAJAYA - Bagi meraikan kejayaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperoleh pengiktirafan akreditasi berdasarkan standard antarabangsa ISO/IEC 17065, satu majlis penyampaian sijil berkenaan telah diadakan di Studio Utama, Kompleks Islam Putrajaya pada 04 Mac 2021.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan turut dihadiri Ketua Pengarah JAKIM dan Ketua Pengarah Standards Malaysia bersama pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua Jabatan berkenaan.

Standards Malaysia selaku Badan Standard Kebangsaan dan Badan Akreditasi Kebangsaan telah memberikan pengiktirafan akreditasi kepada JAKIM berdasarkan kepada keupayaan sistem pensijilan yang dilaksanakan serta mempunyai kualiti dan kompetensi perkhidmatan yang baik dalam menjalankan fungsinya sebagai badan pensijilan halal.

Untuk makluman, skop akreditasi ISO/IEC 17065 yang diperoleh oleh JAKIM adalah bagi pensijilan produk makanan dan minuman, premis makanan seperti hotel dan restoran serta pensijilan bagi rumah sembelihan haiwan. Pada masa akan datang, skop akreditasi ini akan terus diperluaskan kepada skim-skim pensijilan halal yang lain.

JAKIM memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan impian dalam memperoleh akreditasi ini menjadi realiti sepertimana yang telah dicapai pada hari ini. Ia menjadi titik tolak ke arah memperkukuhkan lagi jenama Malaysia selaku peneraju badan pensijilan halal bertaraf dunia.

Majlis yang berlangsung hampir 1 jam tersebut juga menjadi kenangan manis kepada Standards Malaysia yang sedang meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Semoga dengan inisiatif murni seumpama ini akan merancakkan lagi pensijilan halal Malaysia demi kepentingan ummah sejagat.

*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-
http://bit.ly/FBHABHALAL
http://bit.ly/AktiviitiHabHalal
www.halal.gov.my
www.islam.gov.my

JAKIM Terima Pengiktirafan Akreditasi Daripada Standards Malaysia 1

JAKIM Terima Pengiktirafan Akreditasi Daripada Standards Malaysia 2

JAKIM Terima Pengiktirafan Akreditasi Daripada Standards Malaysia 3

JAKIM Terima Pengiktirafan Akreditasi Daripada Standards Malaysia 4

JAKIM Terima Pengiktirafan Akreditasi Daripada Standards Malaysia 5

#YakiniHalalMalaysia
#HalalMalaysiaHaveFaith
#MusaadahCovid19
#AgainstCovid19