Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 MASJID SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN JAKIM PUTRAJAYA (MASJID BESI) DAN KUMPULAN MOTOR BERKUASA TINGGI ALL BIKERS CLUB MALAYSIA (ABCM)
 
13 & 14 Oktober 2018 / 4 & 5 Safar 1440H (Sabtu & ahad)
 
Bertempat di Masjid Saidina Othman Ibni Affan, Felda Gunung Besout 3, Sungkai Perak, satu Program Konvoi Kembara Dakwah dan Pengimarahan telah selamat diadakan dengan jayanya. Program ini telah dianjurkan oleh Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin JAKIM Putrajaya (Masjid Besi) dan kumpulan motor berkuasa tinggi All Bikers Club Malaysia (ABCM) sebuah NGO yang bernaung dibawah Jabatan Kemajuan Islam Islam Malaysia (JAKIM) dengan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Saidina Othman Ibni Affan dan Felda Gunung Besout 3, Sungkai Perak.
 
Program Konvoi Kembara Dakwah ini diadakan dengan matlamat untuk menyemarakkan aktiviti dakwah dan pengimarahan masjid dan surau yang mana sasaran utamanya adalah di kalangan golongan belia. Selain memberi nilai tambah kepada penduduk mengenai dakwah di lapangan, program yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi di Felda Gunung Besout 3, Sungkai Perak ini juga menjadi medan menyemai ukhuwwah Islamiyyah dalam menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w menegakkan Islam.
 
Aktiviti Konvoi Kembara Dakwah bermula di Perak pada hari pertama dengan menyantuni anak-anak yatim di DaHikmah Gopeng melalui penyampaian sumbangan ahli kelab. Kemudian perjalanan diteruskan dengan Ketibaan ahli kumpulan All Bikers Club Malaysia (ABCM) di Masjid Saidina Othman Ibni Affan Felda Besout 3 iaitu sebanyak 70 buah motosikal berkuasa tinggi yang terlibat dengan diiringi oleh paluan kompang dari pelajar Sekolah Rendah Felda Besout 3. Majlis diteruskan dengan jamuan minum petang, bacaan doa oleh imam masjid Saidina Othman Ibni Affan dan ucapan alu-aluan oleh Tuan Hj Zainal bin Hj Mohd Lazim, Timbalan Pengerusi Masjid Saidina Othman Ibni Affan. Majlis diteruskan lagi dengan simbolik penyerahan sumbangan kepada ibu tunggal yang disampaikan oleh Tuan Hj Ustaz Nor Azamir bin Hj Alias , Imam Besar Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin Putrajaya diiringi oleh Tuan Hj Ustaz Hamdan bin Hj Muhamad, Imam dan PRO Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin, Tuan Hj Razali bin Hj Wasik, Presiden All Bikers Club Malaysia (ABCM), dan Tuan Hj Muhammad Imran bin Hj Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Unit Takmir Negeri Perak. Turut hadir menjayakan program ini ialah Cikgu Mohd Zuraidi bin Komari, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang juga merupakan ikon Belia Selangor dan pernah dinobatkan sebagai ikon Belia ASEAN, Tuan Hj Hamdi bin Othman Pegawai Baitulmal Daerah Tapah, Ustaz Mohd Shahrulizwan bin Yahaya, wakil Majlis Agama Islam Perak dan Ustaz Muhammad Hafizi bin Sharif, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Kampar. Dalam program ini Ustaz Shahrir Fahmi bin Mohamad, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Muallim dan Ustaz Anwar Mohd Fauzi Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Tapah bertindak sebagai urusetia bersama memastikan perjalanan aktiviti berjalan lancar.
 
Majlis diserikan lagi dengan slot motivasi yang disampaikan oleh cikgu Mohd Zuraidi bin Komari. Beliau menekankan tentang kepentingan golongan belia kepada negara dan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menarik golongan belia ke masjid serta peranan ibubapa dalam membantu menghasilkan generasi pelapis yang berjaya. Slot malam diteruskan lagi dengan Forum Perdana yang disampaikan oleh Tuan Hj Ustaz Nor Azamir bin Hj Alias, Imam Besar Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin dan Cikgu Mohd Zuraidi bin Komari, Ikon Belia Negara dan ASEAN selaku ahli panel serta Tuan Hj Ustaz Hamdan bin Hj Muhamad, Imam dan PRO Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin selaku moderator. Antara perkara yang ditekankan oleh Tuan Hj Ustaz Nor Azamir, Imam Besar Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin adalah berkaitan rahmat Allah, kepentingan menghormati yang tua dan mengasihi yang muda, bersangka baik, fikirkan perkara yang baik dan harapkan sesuatu yang baik. Cikgu Mohd Zuraidi bin Komari, berkongsi tentang usaha yang dilakukan oleh beliau untuk menarik golongan belia ke masjid. Majlis hari pertama berakhir dengan jamuan makan malam bersama penduduk kampung.
 
Program hari kedua diteruskan lagi dengan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh yang disampaikan oleh Tuan Hj Imran bin Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masiid, Jabatan Agama Islam Perak. Beliau menekankan tentang ibrah disebalik penghijrahan yang dikaitkan dengan penghijrahan burung-burung di Kuala Gula. Sarapan pagi bersama penduduk kampung turut diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penduduk kampung dan tetamu yang hadir serta sebagai satu langkah dalam membina jaringan antara penduduk Felda Gunung Besout 3.
 
Majlis penutupan Konvoi Kembara Dakwah dan Pengimarahan 2018 ini diakhiri dengan ucapan daripada Tuan Hj Zainal bin Hj Mohd Lazim, wakil Masjid Saidina Othman Ibni Affan, Tuan Hj Razali bin Hj Wasik, wakil All Bikers Club Malaysia (ABCM), Tuan Hj Ustaz Hamdan bin Hj Muhamad, wakil Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Tuan Hj Imran bin Ibrahim, wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Majlis Perasmian penutupan disempurnakan oleh Supt. Wan Kamarul Azran bin Wan Yusuf, Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan tentang aspek keselamatan dalam bermotosikal. Majlis berakhir dengan pelancaran Dana Wakaf Pembelian Van Jenazah Masjid Saidina Othman Affan dan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh Supt. Wan Kamarul Azran bin Wan Yusuf, Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim. Majlis berakhir dengan jamuan rakyat pada tengah hari.
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 1
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 2
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 3
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 4
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 5
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 6
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 7
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 8
 
KONVOI KEMBARA DAKWAH DAN PENGIMARAHAN 2018 9
 
 
Laporan disediakan oleh:

Shahrir Fahmi bin Mohamad
Penyelaras Pentadbiran Masjid
Daerah Muallim