Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 22 Mac 2021 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Webinar “Kepimpinan Transformatif: Aplikasi Dalam Situasi Pandemik”. Webinar ini telah disertai seramai 133 orang pegawai JAKIM, wakil-wakil Agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan kader-kader JAKIM di Kementerian secara dalam talian menerusi platform google meet dan fb live. Antara objektif utama webinar ini ialah untuk mendiskusi pendekatan, aplikasi dan adaptasi model kepimpinan transformatif dalam penyampaian perkhidmatan awam khususnya Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam dalam situasi pandemik.
 
Program ini dimulakan dengan perkongsian pengalaman selama satu jam daripada YBhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, mantan Ketua Pengarah JAKIM. Beliau telah berkongsi mengenai betapa pentingnya mengukuhkan dan menjaga hubungan kerjasama antara persekutuan dan negeri, di samping telah menjawab pertanyaan para peserta, mengemukakan pandangan bernas terhadap isu-isu yang dikemukakan, serta membangkitkan motivasi dan inspirasi kepada semua untuk meneruskan legasi Perkhidmatan Hal Ehwal Islam sebagai satu amanah.
 
Slot kedua diteruskan dengan pengisian topik “Aplikasi Kepimpinan Transformatif dalam Situasi Pandemik” oleh YBrs. Dr. Ahmad Rozelan bin Yunus, mantan Profesor di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, UTeM. Beliau mengupas mengenai empat elemen dalam kepimpinan transformatif, iaitu kelakuan ideal (idealized behavior), dorongan intelektual (intellectual stimulation), pertimbangan berdasarkan individu (individual consideration), dan inspirasi (inspirational). Peserta turut menjalani ujian personaliti dalam salah satu aktiviti slot dan diterangkan interpretasi keputusannya oleh penceramah. Di akhir slot, penceramah mengulas mengenai penyesuaian kerja dan inisiatif pelaksanaan dalam mengurus perubahan secara positif akibat pandemik.
 
Para peserta telah memberi maklum balas yang sangat positif terhadap program ini. Program-program kepimpinan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai salah satu kaedah meningkatkan kompetensi pegawai dalam aspek pengurusan dan kepimpinan.
 
Webinar Kepimpinan Transformatif Aplikasi Dalam Situasi Pandemik 1
 
Webinar Kepimpinan Transformatif Aplikasi Dalam Situasi Pandemik 2
 
Webinar Kepimpinan Transformatif Aplikasi Dalam Situasi Pandemik 3
 
Webinar Kepimpinan Transformatif Aplikasi Dalam Situasi Pandemik 4
 
Webinar Kepimpinan Transformatif Aplikasi Dalam Situasi Pandemik 5
 
Webinar Kepimpinan Transformatif Aplikasi Dalam Situasi Pandemik 6