Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Jelebu, 24 Mac 2021 - Al Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannnya. Ini kerana di dalam Al-Quran itu bukan sahaja terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayat, muamalat dan munakahat malah ia juga turut menyimpan fakta-fakta sains yang menjadi bahan rujukan bagi para saintis seluruh dunia.

Dalam usaha untuk menyingkap ilmu sains melalui Al-Quran ini seterusnya menyebar luaskan ilmunya kepada orang awam, ILIM Kampus Jelebu telah menganjurkan Kursus Perkaderan Akidah: Kebenaran Al-Quran Melalui Pembuktian Saintifik pada 23 hingga 24 Mac 2021. Kursus ini telah dijalankan secara hibrid iaitu melalui kaedah dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet dan Facebook Live, juga secara bersemuka di dalam Dewan Hasan Al Basri, ILIM Kampus Jelebu.

Kursus ini menampilkan penceramah yang tidak asing lagi iaitu YBhg. Dr. Mohd Arip bin Kasmo, Mantan Pensyarah UKM dengan kupasan tajuk yang amat menarik antaranya Merasionalkan Israk Dan Mikraj; Perbandingan Antara al Quran, Hadith dan Sains, Pembentukan Alam Semesta, Mukjizat Saintifik al Quran dan Hadith Rasulullah serta banyak lagi. Kursus ini telah menarik penyertaan kira kira 100 orang peserta yang terdiri daripada Kader JAKIM, penjawat awam, guru agama dan orang perseorangan.

Melalui penganjuran kursus seperti ini, diharapkan para peserta dapat menerapkan nilai Tauhid yang berpegang kepada akidah islamiah bagi mewujudkan keselarasan antara agama Islam dan kajian sains seterusnya memupuk kecintaan dan keagungan kepada Allah SWT.
 
Kursus Perkaderan Akidah Kebenaran Al Quran Melalui Pembuktian Saintifik 1
 
Kursus Perkaderan Akidah Kebenaran Al Quran Melalui Pembuktian Saintifik 2
 
Kursus Perkaderan Akidah Kebenaran Al Quran Melalui Pembuktian Saintifik 3
 
Kursus Perkaderan Akidah Kebenaran Al Quran Melalui Pembuktian Saintifik 4