Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 31 Mac 2021 - Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Kursus Pemahaman Prosedur Kes-kes Kekeluargaan di Mahkamah Syariah secara dalam talian. Kursus ini telah berlangsung selama tiga hari bermula daripada 29 hingga 31 Mac 2021.

Stigma masyarakat yang memandang perundangan syariah sebagai kelas kedua dan pelaksanaan pengurusannya yang tidak cekap harus diubah. Setiap individu yang terlibat dengan perundangan syariah sama ada pengamal undang-undang atau masyarakat awam harus mempunyai ilmu dalam perundangan syariah ini. Rentetan itu, ILIM telah mengambil iniasitif untuk mengadakan kursus berkaitan prosedur kes-kes kekeluargaan yang berobjektifkan:
  1. Memberi kefahaman yang mendalam kepada peserta mengenai prosedur kes-kes Mal yang berkaitan kekeluargaan di Mahkamah Syariah;
  2. Meningkatkan kemahiran peserta dalam mentafsir, mentadbir dan melaksana undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah
  3. Membentuk sikap profesionalisme dan komitmen yang tinggi ke arah pelaksanaan Undang-undang Syariah di Malaysia
Kursus yang diadakan secara maya ini telah disertai lebih kurang 58 orang peserta. Peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (S), Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah (LS) dan terdapat juga skim-skim lain daripada pelbagai gred. Penglibatan peserta daripada pelbagai negeri di seluruh Malaysia terutamanya daripada Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah dapat memberi ruang kepada perserta untuk berkongsi info berdasarkan pengalaman pelaksanaan undang-undang syariah di negeri masing-masing.

Sebagai makluman, kursus ini telah mengupas secara terperinci mengenai prosedur kes-kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah dengan memberi fokus kepada isu berkaitan Pengurusan Kes-Kes Mal di Mahkamah Syariah, Prosiding Perbicaraan Kes Mal, Jenis-Jenis Perintah dan Penyelesaian Kes Melalui Sulh.

Penceramah yang dijemput dalam kursus ini ialah Tuan Atras bin Mohd Zin, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Selangor daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor. Pengalaman beliau sebagai pegawai sulh, hakim dan pendakwa syarie dapat memberikan input yang komprehensif kepada peserta dalam kursus ini.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini, diharap dapat memberikan manfaat yang besar kepada peserta dalam melahirkan pegawai- pegawai perkhidmatan awam yang kompeten dalam bidang perundangan Islam khususnya serta dapat menyampaikan ilmu dan info mengenai undang-undang syariah di Malaysia kepada masyarakat umumnya ke arah melahirkan masyarakat yang cakna undang-undang.
 
Kursus Pemahaman Prosedur Kes Kekeluargaan Di Mahkamah Syariah 1
 
Kursus Pemahaman Prosedur Kes Kekeluargaan Di Mahkamah Syariah 2
 
Kursus Pemahaman Prosedur Kes Kekeluargaan Di Mahkamah Syariah 3
 
Kursus Pemahaman Prosedur Kes Kekeluargaan Di Mahkamah Syariah 4
 
Kursus Pemahaman Prosedur Kes Kekeluargaan Di Mahkamah Syariah 5