Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
Putrajaya, 7 April – Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Wacana Eksekutif Maqasid Syariah Tahun 2021 bertempat di Mesmera Ballroom, Hotel Everly, Putrajaya.

Program yang bertemakan “ Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani” ini merupakan program kali pertama secara fizikal yang diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda Negara. Sebanyak tiga (3) sesi pembentangan telah berlangsung bermula jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang, iaitu Bicara Maqasid 1 bertajuk: Minda Maqasid Minda Rabbani oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Bahagian Maqasid Syariah dan Bicara Maqasid 2 bertajuk: Maqasid Insaniyyah Rabbaniyyah yang dibentangkan oleh 2 orang panel iaitu Prof Madya Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Mara dan Tuan Haji Lukmanulhakim bin Hussain, Penasihat Syariah Al-Rajhi Bank. Manakala Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Bahagian Maqasid Syariah bertindak selaku pembuka bicara bagi sesi ini yang mengupas secara terfokus mengenai Urus Tadbir Rabbani Ke Arah Pencapaian Maqasid Syariah dan Peranan Maqasid Syariah Dalam Pembangunan Insan Rabbani. Sesi Bicara Maqasid 3 pula disampaikan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertajuk Impak Maqasid Syariah Terhadap Kelestarian Sistem Perundangan Negara.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyampaikan Ucaptama dan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Wacana Eksekutif Maqasid Syariah ini pada jam 2.30 petang. Hadir sama ke majlis perasmian penutup ini ialah YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM, Ketua-Ketua Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pengarah-Pengarah Bahagian JAKIM.
 
Seramai 133 orang peserta daripada 16 Kementerian, 9 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, 2 Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan 4 Universiti Awam telah menghadiri Wacana Eksekutif Maqasid Syariah kali ini. Diharapkan program ini mencapai objektif yang ditetapkan dan memberikan impak yang positif kepada semua peserta untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan tugas-tugas yang diamanahkan ke arah melahirkan Insan Rabbani, Organisasi Rabbani dan Negara Rabbani.
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 1
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 2
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 3
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 4
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 5
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 6
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 7
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 8
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 9
 
Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani 10