Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
PUTRAJAYA 5 Mac 2019 – YBhg Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP telah sudi menyampaikan bantuan khairat kematian di bawah Skim Kafalah Muzakki sebanyak RM3,000.00. Turut hadir mewakili pihak JAKIM ialah pegawai-pegawai dari Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKIM.
 
Bantuan diserahkan kepada Encik Rozali bin Mohamed Yunus, suami kepada Almarhumah Puan Sharini binti Shari Pinansa, Ketua Pembantu Tadbir di Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar JAKIM. En Rozali juga merupakan pegawai yang berkhidmat di JAKIM sebagai Anggota Polis Bantuan.
 
Almarhumah telah kembali ke rahmatullah setelah terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandu beliau dilanggar sebuah kereta lain ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat di Kompleks Islam Putrajaya. Jenazah Almarhumah telah selamat dikebumikan hari ini (5 Mac) di Tanah Perkuburan Islam Labu Lanjut, Salak Tinggi.
 
Tuan Haji Ahmad Shukri ketika hadir menyampaikan bantuan khairat kematian sempat bertemu dan menyantuni 3 orang anak lelaki almarhumah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengucapkan penghargaan kepada pihak PPZ MAIWP atas kesudian menyampaikan bantuan khairat kematian tersebut.
 
Sebagai makluman, waris kepada Puan Sharini merupakan penerima pertama Skim Kafalah Muzakki PPZ-MAIWP yang baru dilancarkan pada 28 Februari yang lalu. Skim ini diwujudkan bagi meringankan beban waris pembayar zakat apabila berlaku kematian kepada individu yang menunaikan Zakat di PPZ MAIWP. Pembayar individu yang mempunyai rekod bayaran zakat harta sekurang-kurangnya RM50 pada tahun kematian atau sebelum tahun kematian layak menerima skim ini. - UKK JAKIM
 
WARIS PUAN SHARINI TERIMA BANTUAN PPZ MAIWP 1
 
WARIS PUAN SHARINI TERIMA BANTUAN PPZ MAIWP 2