Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Putrajaya – 12 hingga 14 Julai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan Manual Elemen-Elemen Kesalahan Jenayah Syariah Siri 2 Tahun 2021 secara atas talian. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Haji Mohd Hashim, Pengarah BPPPS itu telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama (KPPA) dan Ketua Pendakwa Syarie (KPS) negeri-negeri.

Berkat komitmen tinggi dan padu yang diberikan oleh ahli Mesyuarat, sebanyak enam peruntukan undang-undang kesalahan jenayah syariah telah berjaya dikupas dan diperincikan elemen di dalamnya. Peruntukan yang berkaitan adalah seksyen 27 mengenai kesalahan khalwat, seksyen 29 mengenai kesalahan perbuatan tidak sopan di tempat awam, seksyen 30 mengenai kesalahan memberikan keterangan, maklumat dan penyataan palsu, seksyen 31 mengenai kesalahan takfir, seksyen 32 mengenai kesalahan memusnahkan dan mencemarkan masjid, surau dan sebagainya serta seksyen 33 mengenai kesalahan pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa.

JAKIM berharap Manual yang sedang dibangunkan ini akan menjadi panduan kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) dan Pendakwa Syarie (PS) dalam menjalankan tugas mereka sama ada dari aspek risikan, siasatan dan pendakwaan sekaligus membantu meningkatkan kompetensi serta kecekapan PPA dan PS kelak.

Komitmen Padu Jawatankuasa Penggubalan Kesalahan Jenayah Syariah 1

Komitmen Padu Jawatankuasa Penggubalan Kesalahan Jenayah Syariah 2