Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 23 Julai – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Pengajian Kitab Turath (Falak) Siri Ke-3 dan Ke-4 Secara Dalam Talian kepada Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi-agensi Agama di bawah Pejabat YB Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri. Program ini dilaksanakan pada 9 dan15 Julai 2021 melalui medium Google Meet dan telah mencapai kehadiran 40 peserta.

Pengajian kitab ini diadakan bertujuan untuk melahirkan pakar rujuk dan mengetengahkan lebih ramai Pegawai Hal Ehwal Islam yang berkepakaran dalam pengajian kitab turath (falak). Lanjutan daripada Pengajian Kitab Turath (Falak) Siri Pertama dan Kedua, siri kali ini menyambung pengajian kitab Ilmu al-Mawaqiti wa al-Kiblati wa al-‘Ahillati (Ilmu Waktu Solat, Arah Kiblat dan Hilal) yang dikarang oleh Dr. Solahuddin Ahmad Muhammad Amer.

Menerusi siri kali ini, penceramah pengajian kitab, Ustaz Nik Abdul Rahman bin Mustafa, Pegawai Hal Ehwal Islam (Kanan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengupas bab waktu-waktu yang ditegah solat secara lengkap dan memasuki perbincangan bab penentuan kiblat. Kedua-dua bab ini dibahaskan melalui dua perspektif utama iaitu perspektif alim-ulama’ fuqaha’ dan perspektif ulama’ falak. ). Menerusi siri kali ini, penceramah telah mengupas perbincangan isu semasa penentuan kiblat secara tradisional dan moden. Pengajian siri ini juga mengulas fenomena berlaku Istiwa A’zam yang akan berlaku pada 15 Julai 2021 pada jam 5.28 petang.

Semoga kursus ini berjaya mencapai matlamatnya yang bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman peserta mengenai penentuan waktu-waktu solat dan kiblat, bahkan mampu meningkatkan kepakaran dalam pengajian kitab falak.

Berita Pengajian Kitab Turath Falak Siri 3 4 1

Sumber berita di https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/832-pengajian-kitab-turath-falak-siri-3-4