Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
Isnin 27.7.2021M bersamaan 16 Zulhijjah 1442H- Telah berlangsung dengan jayanya Majlis Penangguhan Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8/ 2021 yang dirasmikan oleh Ybrs Tn Hj Ruslan Said Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Majlis penangguhan kursus yang diadakan secara maya melalui platform Zoom telah turut dihadiri oleh Ybrs Dato Mohd Zakuan bin Haji Zakaria, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Tn Hj Kamarul Saman Yaakob KPP Cawangan Pengurusan Masjid Dakwah JAKIM, pegawai-pegawai kanan, Pegawai Penyelaras Takmir Negeri Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah serta Ketua Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) setiap negeri di Zon Utara.

JHEAIPP menjadi tuan rumah dan perintis dalam Kursus Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara kali ini bermula 24-26 Julai 2021 di mana kelas pengajian turut dikongsi melalui Facebook rasmi Takmir Pulau Pinang www.facebook.com/unittakmir.pulaupinang dan Takmir Zon Utara www.facebook.com/Takmir-Zon-Utara-Malaysia. Pembentangan & taklimat aturcara program telah disampaikan oleh Tn Hj Aziz Firuz pemangku pegawai Takmir Pulau Pinang kepada semua 58 orang peserta yang hadir atas talian. Kursus perkaderan fuqahak yang pertama seumpama ini dibimbing oleh pakar usul fiqh tanah air iaitu SF Ustaz Ahmad Fauwaz Dato Hj Fadzil dengan kitab Qawa’id al-Maqasid karangan ulamak tersohor Syeikh Ahmad Ar-Raysuni yang telah membincangkan 30 daripada 80 kaedah-kaedah maqasid yang amat penting untuk difahami oleh para da’ie.

Kemuncak aturcara adalah ucaptama dari Ybrs Tn Hj Ruslan Said Pengarah Kanan Bahagian Dakwah (JAKIM) yang mengucapkan tahniah kepada tim Takmir Zon Utara yang aktif memperkasakan program takmir kerana dapat menjayakan kursus seumpama ini walaupun dengan kekangan Covid-19 dan norma baharu. Beliau menyatakan tentang cabaran-cabaran pembelajaran atas talian dan mengucapkan syabas kepada kursus ini yang dapat diadakan sesi pengajian dari pagi hingga ke malam dengan jayanya. Beliau mengingatkan tanggungjawab guru takmir untuk mendalami ilmu fiqah, usul fiqh dan maqasid untuk disalurkan kepada anak kariah dan masyarakat. JAKIM sentiasa memberikan kerjasama dan perhatian kepada guru-guru takmir terutama melalui medan baharu agar dakwah dan agama dapat disampaikan kepada masyarakat hingga ke akar umbi. Kerajaan telah menyalurkan melalui JAKIM peruntukan sebanyak 46,131,200.00 meliputi elaun, one off dan caruman PERKESO kepada guru takmir seluruh tanah air. Oleh itu para guru perlu menambah dan memahami ilmu-ilmu turath supaya dapat dikongsi dengan masyarakat. Guru takmir kini bukan sahaja di masjid dan surau malah mereka kini berada di medan dakwah yang baharu. Guru juga diminta mengenal pasti dikawasan masing-masing anak kariah yang dalam kesusahan dalam Program CSR Musa’adah kebajikan kepada 1000 orang yang layak mendapat sumbangan. Pengarah Kanan Dakwah JAKIM juga memaklumkan telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tentang inisiatif Perak menghasilkan ebook dakwah dengan libat sama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk digunapakai di seluruh Malaysia. Beliau mengucapkan tahniah kepada Dato’ Pengarah JHEAIPP di atas penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri bersempena dengan Hari Ulang Tahun ke 72 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Sebelum itu, ucapan aluan telah disampaikan oleh Tn Hj Muhammad Imran Hj Ibrahim Penolong Pengarah Kanan Takmir Perak yang mewakili pegawai-pegawai Takmir Zon Utara memaklumkan agenda ‘Pemerkasaan Guru Takmir Zon Utara’ dalam kursus perkaderan fuqahak’ telah memasuki fasa ke tiga. Fasa pertama dengan mensistemkan program takmir dari JAKIM kepada guru-guru takmir terpilih dengan kerjasama negeri-negeri zon utara melalui penyusunan pengajian yang bersistematik melalui pendekatan, silibus dan peperiksaan. Bagi fasa kedua pula kursus pengajian ini telah mendapat pengiktirafan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dimana peserta layak mendapat diploma eksekutif dengan nama Diploma Profesional Perkaderan Fuqahak Takmir(Pengimarahan Masjid dan Surau). Manakala bagi Fasa ketiga takmir zon utara telah mengadakan kuliah-kuliah takmir secara online dan melalui platform Zoom mengadakan Kursus Perkaderan Fuqahak menyahut seruan YB Senator Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Konvensyen Murabbi Ummah Peringkat Kebangsaan baru-baru ini agar memperkasakan penggunaan IT dan media sosial.

Majlis turut ditayangkan kepada hadirin montaj Kursus Perkaderan Fuqahak dan Takmir Zon Utara. Diakhir sesi diadakan sesi fotografi secara maya dan pengerusi majlis Tn Hj Abd Rashid Abd Jalil mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang dapat hadir serta menutup majlis dengan tasbih kifarah dan surah al-Asr.

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 1

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 2

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 3

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 4

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 5

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 6

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 7

Program Perkaderan Fuqahak Guru Takmir Zon Utara Kali 2 Siri 8 2021 8


Disediakan oleh:
Penolong Pengarah Kanan Takmir Perak
Mewakili Pegawai Takmir Pulau Pinang, Perlis dan Kedah
27.7.2021