Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 29 Julai 2021 (Khamis) - ILIM Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah menganjurkan Wacana Kepimpinan Islam secara dalam talian dengan topik “Pengaruh Islam Terhadap Kepimpinan di Alam Melayu” menerusi platform google meet. Wacana terbuka ini disertai oleh seramai 125 orang peserta terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, penjawat awam daripada pelbagai Jabatan dan Kementerian antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Istana Negara, Agensi di Bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan masyarakat awam. Objektif utama wacana ini adalah untuk membangkitkan keprihatinan terhadap sejarah Islam di alam melayu dan memelihara ketamadunan serta jati diri umat Islam di alam melayu.

Wacana yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.15 tengah hari telah menampilkan YBrs. Tuan Mohd. Hasanuddin bin Mohd. Yusof, Pengarah Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam. Beliau telah berkongsi banyak fakta dan hasil penemuan dalam kajian beliau mengenai kegemilangan empayar kerajaan-kerajaan melayu-Islam tradisional di Nusantara yang kuat pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah dan bermazhab Syafie dari segi pengamalan fiqh. Beliau juga mendedahkan bahawa hubungan antara para ulama dengan sultan-sultan pada zaman kesultanan melayu amat erat, bahkan terdapat ramai sultan-sultan sendiri terdiri dalam kalangan ulama dan terkenal dengan ciri-ciri kesolehan. Pengisian program termasuk slot tayangan video pendek mengenai Melaka menyelamatkan Kota Mekah daripada serangan Portugis.

Kepimpinan yang sentiasa mengikut panduan agama dan memuliakan ulama telah terbukti dalam sejarah mampu membina ketamadunan yang hebat dan gemilang dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi, teknologi, kesenian dan ketenteraan. Kehebatan dan kegemilangan ini diakui dalam catatan Tome Pires yang terpegun dengan kekayaan Kesultanan Melayu Melaka yang dianggap tidak pernah ditemui di mana-mana sebelum mereka sampai di Tanah Melayu.

Sambutan dan maklum balas positif telah diberikan oleh para peserta yang turut aktif bertanyakan soalan dan berkongsi pandangan serta memberi komentar. Rata-rata peserta mengharapkan penceramah yang sama diundang lagi pada siri yang akan datang sebagai kesinambungan kepada program ini. Ini kerana masih banyak lagi pendedahan dan penemuan kajian yang belum sampai kepada masyarakat dan maklumat-maklumat terkini tidak cukup untuk disampaikan dalam masa yang singkat. Di akhir program, peserta telah dihidangkan dengan tayangan video mengenai kejatuhan Kerajaan Islam Melayu Melaka ke tangan Portugis akibat pengkhianatan dalaman kaum sendiri, bukan kerana kelemahan teknologi dan ketenteraan.


WACANA KEPIMPINAN ISLAM 1

Sumber berita dari https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/837-wacana-kepimpinan-islam-pengaruh-islam-terhadap-kepimpinan-di-alam-melayu