Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
Putrajaya – 29 Julai 2021, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPDNHEP telah menganjurkan Program Eksekutif Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi secara dalam talian melalui aplikasi zoom bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai KPDNHEP Gred 41 ke atas dari seluruh negeri termasuk pegawai yang bukan beragama Islam telah menyertai program yang julung kali diadakan ini.

Program dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan Majlis Perasmian oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha KPDNHEP. Dalam Ucapan Perasmiannya, beliau menggesa semua pegawai KPDNHEP supaya mengambil manfaat daripada program yang diadakan ini dan cuba mengaplikasikan prinsip Maqasid Syariah dalam tugas-tugas yang dilaksanakan. Hadir sama dalam Majlis Perasmian ini ialah YBrs. Puan Julia binti Jaladdin, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPDNHEP.

Sebanyak dua (2) slot pembentangan dan satu (1) sesi Perbincangan Berkumpulan yang dinamakan sebagai ‘Let’s Talk Maqasidic Mind’ telah diadakan bermula jam 9.45 pagi hingga 5.00 petang. Slot pertama bertajuk “Konsep Dan Falsafah Maqasid Syariah Dan Kaitannya Dengan Tadbir Urus Dan Kepimpinan”, manakala slot kedua bertajuk “Aplikasi Minda Maqasid Syariah Dalam Pengurusan Dan Pentadbiran”. Kedua-dua slot ini disampaikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Bahagian Maqasid Syariah JAKIM. Manakala dalam sesi Perbincangan Berkumpulan, para peserta dibahagikan kepada empat (4) kumpulan dan diberi tugasan menyelesaikan Kajian Kes Minda Maqasid yang telah ditetapkan. Sesi perbincangan dan pembentangan resolusi kajian oleh setiap kumpulan berjalan lancar dengan penglibatan aktif setiap peserta.

Pengisian program yang dilaksanakan ini adalah berdasarkan Model Program Eksekutif Tadbir Urus Berteraskan Maqasid Syariah yang dibangunkan oleh Bahagian Maqasid Syariah JAKIM dan telah mendapat Hak Cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987. Adalah diharapkan program ini mencapai objektif yang ditetapkan dan memberikan impak positif kepada peserta dan organisasi.

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 1

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 2

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 3

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 5

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 6

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 7

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 8

Maqasid Syariah Dalam Tadbir Urus Organisasi Peringkat KPDNHEP 10