Kurator Berita : Darul Quran
11 Ogos 2021 – Seramai 32 orang pelajar baharu telah selamat mendaftar di dalam Majlis Sambutan Pelajar Baharu Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-IIUM Sesi 2021-2022 yang diadakan secara dalam talian pada hari ini. Berdasarkan jumlah tersebut, seramai 13 orang pelajar lelaki dan 19 orang pula adalah pelajar perempuan. Pada pengambilan bagi sesi kali ini, Darul Quran telah menerima sebanyak 800 permohonan. Daripada jumlah tersebut, seramai 437 orang calon yang layak dipanggil temu duga. Namun, hanya 323 orang calon sahaja yang telah menyertai sesi temu duga yang diadakan secara dalam talian selama lapan hari bermula pada 8 dan 9 Jun 2021.

Majlis pendaftaran ini telah dirasmikan oleh Pengarah Darul Quran, Ustaz Mohamad Kori Jusoh. Turut hadir menyertai bersama majlis ini ialah Prof. Madya Dr. Haslina Hassan, Pengarah Bahagian Pengurusan Akademik & Kemasukan Pelajar (AMAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Encik Murshid Kassimm, Dekan Pusat Asasi UIAM Kampus Kuantan dan Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahim selaku Penyelaras Program Kerjasama Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-IIUM. Selain ucapan perasmian, para pelajar baharu turut diberikan taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Akademik, Cawangan Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Pendaftar serta Jabatan Pengajian Tahfiz supaya para pelajar ini mendapat maklumat-maklumat penting berkenaan operasi setiap cawangan dan unit di Darul Quran yang berkaitan dengan pelajar.

Tahniah dan syabas diucapkan. Semoga anak-anak pelajar baharu Darul Quran memanfaatkan peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya di dunia dan juga akhirat. Amin.

Sambutan Pelajar Baharu Program Pensijilan Tahfiz Al Quran Sesi 2021 2022

sumber berita dari http://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=467