Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 9 Ogos 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Kursus Asas Auditor Pensijilan Halal Malaysia yang berlangsung selama tujuh (7) hari iaitu pada 27 sehingga 29 Julai 2021 dan bersambung semula pada 2 sehingga 5 Ogos 2021. Kursus ini dijalankan secara dalam talian melalui platform zoom dan telah mencapai kehadiran sehingga 152 peserta yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (Gred 29 dan ke atas) dan Pegawai Teknologi Makanan (Gred 29 dan ke atas) daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Kursus ini diadakan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai konsep pengurusan dan prosedur pensijilan halal Malaysia. Sepanjang kursus ini, peserta didedahkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan pensijilan halal dan pengauditan berpandukan kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Standard Malaysia berkaitan pengurusan halal. Antara slot-slot yang dibincangkan ialah Pengenalan (Struktur BPH & MHM serta Pensijilan Halal Malaysia), MPPHM DOMESTIK 2020 dan MHMS 2020, Tatacara Pengauditan Halal (Pra-Semasa-Selepas), Pengenalan Sistem My e-Halal dan Adequacy Audit dan The Malaysian Protocol for The Halal Meat and Poultry Productions.

Kursus yang dikendalikan oleh ILIM ini telah mendapat kerjasama daripada tujuh (7) penceramah yang berkepakaran dan berpengalaman iaitu Encik Mohd Asyraf bin Ibrahim (SMHM), Encik Mohd Fakarudin bin Mas’od (BPH), Encik Muhammad Hannan Syafiq bin Jamaludin (SMHM), Puan Fakheezah binti Borhan (Jabatan Standard Malaysia), Puan Nor Ardzlina binti Mahmod (BPH), Puan Siti Ayisah binti Surif (BPH), dan Encik Mohamad Samir bin Sulaiman (SMHM).

Semoga kursus yang bermanfaat ini berjaya mencapai matlamatnya yang bukan sahaja mampu memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai konsep pengurusan dan prosedur pensijilan halal Malaysia, bahkan dapat melahirkan Pegawai Halal yang Kompeten dalam Pengurusan Halal.

Kursus Asas Auditor Pensijilan Halal Malaysia 1

Sumber berita dari https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/843-kursus-asas-auditor-pensijilan-halal-malaysia-2