Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 11 Ogos 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKIM telah menganjurkan Kursus Pembangunan Imej Pegawai dan Organisasi pada 11 Ogos 2021 (Rabu). Kursus kali telah disertai seramai 140 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri dan kader di kementerian/jabatan/agensi secara dalam talian melalui aplikasi googlemeet.

Kursus ini diadakan bertujuan mencapai objektif seperti berikut;

  • Meningkatkan kefahaman dan kesedaran kepada pegawai JAKIM mengenai kepentingan imej diri dan personaliti dalam organisasi
  • Meningkatkan keterampilan diri, personaliti dan potensi diri sebagai pekerja yang bernilai kepada sesebuah organisasi; dan
  • Berkeupayaan memahami mengenai konsep kualiti dalam perkhidmatan dan produktiviti organisasi

Program ini menampilkan YBrs. Dr. Farrah Shafeera @ Ann Ibrahim yang merupakan seorang Persona Expert & Physiologist dan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Asas (Fisiologi), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Antara pengisian yang menarik disampaikan oleh beliau ialah mengenai persepsi dan faktor membentuk persepsi, imej dan kesalahan-kesalahan utama, pemakaian yang formal dan tidak formal, etika profesional penjawat awam dalam pembentukan imej dan personaliti diri dalam organisasi.

Personaliti dan imej yang profesional sangat penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap persepsi pelanggan dan budaya korporat jabatan, bukan hanya merujuk kepada cara berpakaian, paras rupa atau keadaaan fizikal seseorang semata-mata. Dalam dunia profesional, personaliti adalah pakej diri yang mengandungi kualiti dan ciri-ciri seorang pekerja yang menggambarkan kompetensi dan karakter semasa.

Kursus ini diharap dapat memberi kesedaran dan panduan kepada pegawai-pegawai JAKIM untuk meningkatkan potensi, imej, keterampilan dan personaliti diri seterusnya dapat menaikkan imej jabatan.

Kursus Pembangunan Imej Pegawai dan Organisasi 1

Sumber dari Portal Rasmi ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/846-kursus-pembangunan-imej-pegawai-dan-organisasi-secara-dalam-talian