Kurator Berita : Bahagian Dakwah
12 Ogos 2021 (Khamis) – Sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1443 pada kali ini, JAKIM telah mengadakan forum atas talian bertajuk Hijrah Itu Perjuangan. Forum ini diadakan adalah bertujuan untuk ; a) memberikan pendidikan dan kesedaran bahawa perubahan dalam kehidupan bukan sesuatu perkara yang mustahil bahkan ia adalah satu tuntutan; b) memberikan kesedaran dan penjelasan bahawa perubahan cara hidup kepada kehidupan yang lebih baik memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi; dan c) mengenal pasti cabaran dan halangan yang timbul setelah melakukan perubahan dalam kehidupan.

Forum ini telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Manakala tiga orang ahli panel yang telah menjayakan forum ini ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Khadijah binti Mohd Khambali@Hambali dari Universiti Malaya, YBrs. Dr. Muhammad Yusof Marlon bin Abdullah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan YBrs. Encik Adam Corrie Lee bin Abdullah, seorang selebriti dan pendakwah bebas. Forum ini turut diserikan dengan penampilan istimewa artis tanahair iaitu Nora binti Ariffin.

Kepentingan Hijrah tidak dapat dinafikan kerana ia adalah salah satu Sunnah Nabi SAW yang dapat memberi pedoman ke atas sikap dan gerak-geri muslim. Dalam konteks ini Hijrah juga adalah satu bentuk pengorbanan iaitu dengan mengorbankan kehendak hawa nafsu yang perlu disertakan dengan sifat sabar yang tinggi serta istiqomahdiri melalui Manhaj Rabbani.Bersesuaian dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti. Demi menjamin kualiti sebagai muslim seharusnya kita semua mempunyai iltizam ke arah transformasi kehidupan kepada yang lebih baik demi mencari redha Allah. Justeru, kita perlu komited untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Hayatilah semangat hijrah dengan menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan kehidupan dunia dan akhirat.

Forum Hijrah Itu Perjuangan 1

Forum Hijrah Itu Perjuangan 2

Forum Hijrah Itu Perjuangan 7