Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 17 Ogos - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Program Bicara Nikah Cerai Dan Rujuk (Siri 2) Secara Dalam Talian pada 17 Ogos 2021 bersamaan 8 Muharram 1443H. Program ini bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 11.30 tengah hari melalui platform Google Meet dan Facebook ILIM. Kehadiran peserta mencapai seramai 179 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam JAKIM, Kader JAKIM, Pegawai agensi di bawah Menteri di JPM, MAIN dan JAIN, pelbagai Kementerian/Jabatan Kerajaan di seluruh Malaysia.

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan kefahaman kepada peserta berkaitan pengurusan nikah, cerai dan rujuk yang sistematik dan berkesan. Menerusi siri kali ini, Ustazah Nik Suhaila Binti Nik Hussin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor sebagai penceramah program telah membincangkan berkaitan Pengurusan Cerai dan Rujuk. Hal-hal pengurusan cerai dan rujuk seperti proses rundingcara, hukum hakam perceraian, prosedur pendaftaran cerai dan rujuk serta isu-isu semasa berkaitan telah dikupas dan dibahaskan bagi memberi pendedahan dan memberi jalan penyelesaian yang baik dan berkesan.

Semoga program ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan nikah, cerai dan rujuk serta berupaya menyelesaikan permasalahan kekeluargaan dalam masyarakat dengan lebih baik.

Program Bicara Nikah Cerai Dan Rujuk Siri 2 1

Sumber berita dari Laman Web Rasmi ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/855-program-bicara-nikah-cerai-dan-rujuk-siri-2-secara-dalam-talian