Kurator Berita : Bahagian Dakwah
20 Ogos 2021, Jumaat 9.30 malam – Team SIC Dakwah meneruskan misi bantuan agihan barangan bekalan makanan ke Pulau Mutiara. Majlis ringkas simbolik penyerahan kepada Pegawai Takmir Pulau Pinang dan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) telah diadakan di Masjid Abdullah Fahim Seberang Prai Utara, Pulau Pinang. Program ini adalah kerjasama antara JAKIM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Cawangan Pulau Pinang.

Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 (TMC-19) telah disampaikan oleh Tuan Haji Ruslan bin Said, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM kepada Ustaz Khairul Azman bin Azizan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau mewakili Pengarah JHEAIPP berjumlah RM10,000.00 dalam bentuk 100 pek bakul makanan untuk diagihkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dalam menjayakan program ini, JAKIM telah menjemput pihak YADIM Pulau Pinang selaku rakan strategik yang berperanan sebagai pembekal bakul makanan. Hadir sama dalam majlis tersebut Encik Akmal dan Encik Zulhilmi mewakili YADIM Pulau Pinang serta beberapa orang pegawai PPMD Pulau Pinang sebagai pemudah cara agihan bantuan bakul makanan tersebut agar dapat disampaikan terus kepada golongan asnaf dan mereka yang terkesan ketika menghadapi waktu yang sulit ini.

Program Bantuan Tabung Musaadah Covid 19 Di Pulau Pinang 1

Program Bantuan Tabung Musaadah Covid 19 Di Pulau Pinang 2

Program Bantuan Tabung Musaadah Covid 19 Di Pulau Pinang 3

Program Bantuan Tabung Musaadah Covid 19 Di Pulau Pinang 4