Kurator Berita : Bahagian Dakwah
PUTRAJAYA, 26 Ogos 2021 (Khamis) – “Bersama dan bersatu meneruskan usaha dakwah demi maslahah ummah”. Justeru atas dasar kebersamaan dalam menangani apa jua isu ummah dalam situasi negara berada dalam kemelut pandemik covid19, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan forum bertajuk Berdakwah di Era Pandemik Covid19 - Pengalaman Negara MABIMS.

Dalam konteks negara MABIMS, isu dakwah merupakan isu yang perlu diberi perhatian. Cabaran dan halangan dalam dakwah adalah satu realiti yang perlu dihadapi oleh pendakwah. Hakikat cabaran yang dihadapi dalam dakwah ini telah pun berlaku sejak di zaman Nabi Muhammad SAW lagi ketika menyebarkan agama Islam. Halangan demi halangan yang dihadapi oleh keanggotaan Negara MABIMS, usaha dakwah perlu diteruskan selari dengan situasi yang dihadapi oleh masyarakat. Para pendakwah memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan program-program dakwah dapat diteruskan melalui kepelbagaian aplikasi dan medium selari dengan kemajuan teknologi dan multimedia yang releven agar mesej dakwah dapat disebarkan dengan pantas, mudah dan berkesan. Hakikatnya kehidupan yang dilalui dalam era pandemik ini, masyarakat tidak lagi boleh bermuamalat seperti dahulu lagi. Malah dalam proses untuk membiasakan hidup dalam norma baru pastinya ada kekangan-kekangan tertentu yang akan memberi banyak kesan dalam semua aspek, baik ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Ini secara tidak langsung juga turut memberi kesan terhadap emosi dan mental masyarakat.

Forum yang telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM ini dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hariri bin Mohamad Daud, selaku Moderator forum dengan menampilkan 4 orang panelis yang cukup hebat yang mewakili negara masing-masing iaitu Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da’wah Islamiah, Brunei, YBrs Dokterandes Hj. Syamsul Bahri M.Pd.I, Direktur Penerangan Agama Islam Kementerian Agama Republik Indonesia, YBrs. Tn. Hj. Nasrudin bin Hassan, Yang DiPertua YADIM dan YBrs. Ustaz Khairul Anwar bin Mohamed Aznan, Pengerusi Eksekutif Masjid, Singapura.

Program ini yang telah berjaya dihadiri oleh seramai lebih kurang 100 orang peserta dari kalangan negara MABIMS terdiri dari pelbagai agensi agama, golongan akademik, NGO-NGO Islam. Ternyata perkongsian pengalaman mengenai isu dakwah, usaha-usaha melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti dakwah dalam situasi negara berada dalam pandemik covid19 ini amat bermakna dan bermanfaat serta memberi inspirasi untuk diimplementasi bersama bagi memastikan mesej dakwah ini terus dapat disebarkan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Berdakwah Di Era Pandemik Covid19 Pengalaman Negara MABIMS 1

Berdakwah Di Era Pandemik Covid19 Pengalaman Negara MABIMS 2

Berdakwah Di Era Pandemik Covid19 Pengalaman Negara MABIMS 3