Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 24 Ogos - ILIM Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah menganjurkan Webinar Kemahiran Kepemimpinan dengan topik “Mendengar: Kuasa Tidak Terhad Seorang Pemimpin”. Seramai 135 orang penjawat awam daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Agensi-agensi di Bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta kader-kader JAKIM di pelbagai kementerian dan agensi telah menyertai program ini menerusi platform google meet dan fb live. Webinar dengan sasaran terbuka ini turut disertai oleh guru-guru KAFA di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kementerian Pendidikan Malaysia, kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS). Objektif utama webinar ini adalah untuk menjelaskan kepentingan mendengar dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mendengar bagi mencapai hasil atau faedah yang optima kepada diri dan organisasi.

Webinar ini telah berlangsung selama 4 jam dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Penceramah, YBrs. Dr. Ahmad Rozelan bin Yunus, mantan Profesor Fakulti Kejuruteraan dan Teknousahawanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), telah berkongsi pengetahuan, kemahiran, juga pengalaman beliau sebagai kaunselor berdaftar yang banyak mengaplikasi kemahiran mendengar. Daripada pembentangan beliau, peserta mendapat tips berguna dan strategi kemahiran mendengar untuk meningkatkan ciri kepemimpinan.

Sesi pembentangan turut diselang-seli dengan interaksi dua hala antara penceramah dan peserta. Turut dijalankan beberapa aktiviti yang memerlukan penglibatan peserta. Antara yang menarik, peserta diajak menjalani ujian personaliti dengan menjawab soalan-soalan yang dipandu oleh penceramah. Penceramah juga memberi interpretasi dan penjelasan terhadap hasil keputusan yang diperolehi oleh para peserta. Tujuan di sebalik aktiviti ini adalah supaya setiap individu memahami sifat personaliti diri dan kecenderungan diri sendiri dan orang lain, sama ada mempunyai ciri Visual, Auditori atau Kinestetik (VAK) ketika cuba mengaplikasi kaedah mendengar secara aktif.

Para peserta telah memberikan perhatian yang sangat baik dan komitmen tinggi walaupun masa berlalu melewati jadual yang ditetapkan. Berdasarkan maklum balas positif yang diberikan oleh para peserta, rata-rata mereka berpuas hati dengan pengisian program dan penyampaian oleh penceramah. Semoga para peserta dapat mengaplikasi dan memanfaatkan ilmu yang diperolehi pada masa akan datang, atau apabila diperlukan dalam konteks kehidupan seharian dan organisasi.

Mendengar Kuasa Tidak Terhad Seorang Pemimpin 3

Sumber berita dari Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/864-webinar-kemahiran-kepemimpinan-mendengar-kuasa-tidak-terhad-seorang-pemimpin