Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 24 Ogos - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKIM telah menganjurkan Kursus Asas Penyediaan Reka Bentuk dan Info Grafik secara dalam talian pada 23 hingga 24 Ogos 2021 (Isnin-Selasa) bermula jam 09.00 pagi sehingga jam 1.00 petang. Kursus ini telah disertai hampir 60 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Komunikasi Strategik Bahagian, Pegawai Tadbir Media Sosial dan warga JAKIM.

Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran dalam penyediaan rekabentuk dan infografik untuk media sosial jabatan atau bahagian. Penghasilan reka bentuk dan grafik yang menarik, kemas dan mudah difahami dapat membantu memberikan imej yang baik kepada jabatan. Selain itu, ia juga memberi persepsi positif dari aspek kefahaman kepada masyarakat awam terhadap bahan, perkhidmatan dan program-program yang dianjurkan jabatan.

Kursus dimulakan dengan ucapan aluan dan amanat daripada Tuan Haji Zakaria bin Othman, Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat JAKIM dan diteruskan oleh penceramah atau pemudah cara yang dijemput iaitu Puan Noorlizawati binti Mohd Akil, Pereka Grafik daripada Ad Media Bizz Services serta dibantu oleh dua (2) orang fasilitator iaitu Encik Mohd Syahril bin Mohd Nor, Pereka ILIM dan Puan Hamidah binti Ishak Pereka JAKIM. Sepanjang dua (2) hari kursus, peserta telah didedahkan dengan pengenalan, prinsip dan kaedah dalam reka bentuk, sumber-sumber atau bahan untuk penyediaan reka bentuk yang boleh diperolehi melalui web, penggunaan software dan aplikasi Adobe Photosop, Microsoft Power Point dan Canva dalam menyediakan reka bentuk dan info grafik. Peserta diberi tugasan untuk menyediakan reka bentuk sebagai satu latihan serta membuat pembentangan dan perbincangan untuk penambahbaikan hasil tugasan tersebut.

Semua peserta yang menyertai kursus ini sangat responsif dan memberi maklumbalas yang sangat baik di atas penganjuran kursus kali ini. Perkara yang sangat penting adalah mengamalkan ilmu yang telah diperolehi bagi menambah kemahiran dan kecekapan dalam reka bentuk dan info grafik. Semoga kursus ini dapat membantu menaikkan imej dan merancakkan penyampaian maklumat atau perkhidmatan dalam media sosial bahagian atau jabatan dengan lebih menarik dan berinformasi.

Kursus Asas Penyediaan Reka Bentuk dan Info Grafik 1