Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
11 September 2021 Yan, Kedah - Pada hari ini JAKIM mengetuai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HEA) berkolaborasi gerak kerja misi bantuan menyantuni mangsa-mangsa banjir kepala air yang berlaku di Daerah Yan, Kedah pada 18 Ogos 2021 yang lalu. Di antara agensi yang terlibat iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HEA) dan ketua-ketua agensi yang tiba di Yan Chalet Titi Hayun, disambut oleh YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muzzafar Shah, Pegawai Daerah Pejabat Tanah Daerah Yan, kemudiannya mendengar taklimat fenomena kepala air disampaikan oleh Encik Abdullah bin Sulaiman, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia. Selepas itu, acara simbolik penyerahan sumbangan, Datuk Abdul Aziz Jusoh Ketua Pengarah JAKIM, dijemput mengiringi YB Senator YB Menteri menyampaikan replika cek kepada YM Tunku Iskandar Shah, Pegawai Daerah PTD Yan bernilai RM516,600.00 jumlah keseluruhan misi bantuan yang disalurkan.

Perincian jumlah bantuan yang telah disalurkan oleh agensi YB Menteri iaitu pihak JAKIM sebanyak RM35,000.00, pihak YaPEIM menyumbang sebanyak RM51,600.00, pihak YADIM menyumbang sebanyak RM30,000,00 dan pihak Yayasan Taqwa dan MAIWP menyumbang sebanyak RM400,000.00 dengan jumlah keseluruhan RM516,600.00 dalam pelbagai bentuk bantuan seperti wang tunai, barangan keperluan dapur, khidmat pembersihan dan sanitasi beberapa buah masjid dan surau, beg sekolah, ziarah ke rumah mangsa, edaran barang basah dan sebagainya.

Hadir sama mendengar taklimat fenomena kepala air iaitu Ketua-ketua Agensi YB Menteri dibarisi Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Encik Mohd. Nizam bin Yahaya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dato’ Razali bin Shahabudin, Pengerusi Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Tuan Haji Nasrudin bin Hassan, Yang diPertua YADIM, Tuan Haji Mohd. Ridzal bin Mohd. Sheriff, Ketua Pengarah YaPEIM. Manakala, ketua-ketua agensi negeri Kedah dihadiri oleh YB Datuk Haji Awang bin Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia (Ahli Parlimen Pendang), Dato’ Syeikh Ismi Anuar bin Abdul Halim, Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Ustaz Aizat bin Zakaria, YaPEIM Kedah, YB Ustaz Mohd. Azam bin Abdul Samat (DUN Sungai Limau), Encik Fathul Amin bin Mat Desa, wakil YB Guar Chempedak, dan Encik Abdullah bin Sulaiman, Pengarah Mineral dan Geosains Malaysia.

Dalam sesi temubual bersama wartawan, YB Senator Menteri menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa yang terlibat dan mengingatkan bahawa kejadian ini adalah ujian dari Allah SWT serta menyeru mangsa yang terlibat bersabar di atas ujian dan musibah ini. Misi bantuan yang digerakkan ini adalah sebagai tanda sokongan dan kebersamaan pihak kerajaan kepada mangsa-mangsa yang terlibat, semoga bantuan yang dihulurkan serba sedikit membantu meringankan bebanan dan mengubat kesedihan mereka yang kehilangan ahli keluarga dan kerosakan harta benda.
Selepas sesi taklimat di Yan Chalet Titi Hayun, YB Senator dibawa oleh pasukan YaPEIM menziarahi rumah mangsa Puan Nurfaezah Ismail di Kg. Setol, Yan sebagai simbolik penyerahan skim bantuan YaPEIM Prihatin.

Kemudian, YB Senator dibawa ke Masjid Haji Nyak Gam, Kariah Ruat, Yan untuk majlis ringkas yang dimulakan dengan gimik sanitasi masjid. Berikutnya, penyampaian sumbangan wang tunai RM20,000.00 dari Tabung Musa’adah Covid19 JAKIM-YWM disampaikan oleh Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM kepada Encik Muhammad Fuad bin Md Daud mewakili Persatuan Penduduk Legasi Kampung Sungai Lintang, Yan. Sumbangan MAIWP berjumlah RM300,000.00 bantuan sekolah SK Haji Nyak Gam, sumbangan YADIM kepada Masjid Haji Nyak Gam berjumlah RM1,000.00 diserahkan kepada Tuan Haji Mohd. Rosli bin Hassan, Pengerusi Masjid merangkap Guru Besar Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, Kampung Ruat. Dalam majlis ringkas itu juga, pihak YADIM telah menyediakan bantuan beg sekolah, barang basah seperti 200 ekor ayam, 100 kilo ikan dan sayur-sayuran untuk diagihkan kepada 200 penerima manfaat atau mangsa-mangsa yang terlibat.

Di akhir program, pasukan YaPEIM meneruskan acara terakhir menziarahi waris Allahyarham Sharuzi Mohamad (korban kepala air) di rumahnya Kampung Simpang Empat Sedaka, Yan bagi menyerahkan sumbangan skim YaPEIM Prihatin dan Sinar Kasih.

Semoga sinergi kolaborasi agensi-agensi di bawah YB Menteri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, khususnya Pejabat Tanah Daerah Yan ini serba sedikit meringankan beban mangsa-mangsa banjir dan sebagai tanda sokongan dan kebersamaan kita di waktu senang mahu pun di waktu sukar.

Program Sumbangan Bencana Banjir Bersama YBM Di Daerah Yan 1

Program Sumbangan Bencana Banjir Bersama YBM Di Daerah Yan 2

Program Sumbangan Bencana Banjir Bersama YBM Di Daerah Yan 3