Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 21 September 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) dengan kerjasama Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Pembacaan Pruf Profesional secara dalam talian pada 21 September 2021 (Selasa) bermula jam 08.30 pagi hingga jam 5.00 petang. Kursus ini telah disertai hampir 80 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai JAKIM, Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Sebahagian daripada peserta kursus terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang penerbitan, penyelidik, pusat latihan, pusat akademik, calon Hadiah Latihan Pengajian, penulisan makalah, jurnal dan lain-lain sama ada bersifat akademik atau separa akademik.

Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran mengenai kaedah, teknik dan proses suntingan serta pembacaan pruf dalam menghasilkan bahan-bahan bertulis yang berkualiti, bersistematik dan berimpak tinggi. Salah satu fungsi JAKIM dan agensi agama adalah menerbitkan pelbagai bahan terbitan berunsur Islam, jurnal, artikel, kajian dan sebagainya sama ada secara bercetak ataupun tidak. Justeru, penganjuran kursus ini sangat penting dan signifikan untuk dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan serta kemahiran pegawai dan kakitangan yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam kerja-kerja penerbitan, penyelidikan dan penulisan bahan-bahan bertulis.

Penceramah kursus kali ini iaitu Puan Noor Suraya binti Adnan Sallehudin merupakan Munsyi Dewan yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan dan penyemak pruf. Beliau telah berkongsi secara teori dan amali merangkumi penerangan mengenai pengenalan pembacaan pruf, bentuk dan gaya penerbitan, peranan dan hubungan editor dengan pembaca pruf, bahagian-bahagian huruf dan anatomi buku, tujuan pembacaan dan penyemakan pruf, jenis, tanda baca dan simbol pruf, kepentingan pembacaan pruf, latihan dan pembentangan.

Peserta yang hadir sangat interaktif dan responsif sepanjang kursus berlangsung dan telah memberi maklumbalas yang sangat baik atas penganjuran kursus kali ini. Kursus diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh YBrs Dr Lokman bin Ab. Rahman, Pengarah Bahagian Penerbitan, JAKIM. Semoga kursus ini dapat membantu meningkatkan kemahiran peserta dalam pembacaan pruf dengan lebih sistematik.

Kursus Pembacaan Pruf Profesional 1

Sumber berita dari Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/875-kursus-pembacaan-pruf-profesional