Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 23 September 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah mengadakan Kursus Kemahiran Ejaan Jawi Siri 1/2021 secara dalam talian kepada Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM termasuk Kader Kementerian/ Jabatan/ Agensi, MAIN, JAIN, agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan penjawat awam pelbagai skim (Gred 29 dan ke atas).

Kursus Siri 1 yang telah diadakan selama dua (2) hari ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai berkaitan Sistem Ejaan Jawi yang Disempurnakan serta meningkatkan kemahiran penggunaan tulisan jawi dalam kalangan pegawai mengikut ejaan yang betul dan tepat. Selain itu, kursus ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap tulisan jawi sebagai lambang jati diri bangsa melayu dalam mempertahankan warisan bangsa.

Kursus ini dikendalikan oleh Puan Fadhilah binti Mustapa, yang merupakan seorang Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas Pengerusi dan Panel penilai Buku Teks Pendidikan Islam Sekolah Rendah dan Panel Penilai Buku Teks KSSMPK mata pelajaran Pendidikan Islam Pendidikan Khas Tingkatan 3. Beliau berpengalaman dalam memberi ceramah berkaitan pemerkasaan jawi kepada guru-guru KPM, guru KAFA dan guru-guru sekolah sama ada kerajaan mahupun swasta di seluruh negeri. Beliau juga merupakan seorang Panel Pembinaan Kurikulum Sekolah Rendah KBSR dan KSSR, Kurikulum j-QAF dan Kurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) semenjak tahun 1998.

Di dalam Kursus Kemahiran Ejaan Jawi Siri 1 ini, beliau berkongsi mengenai latar belakang Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan, fungsi dan peranan huruf jawi, kedudukan huruf hamzah dalam tulisan jawi serta sedikit penerangan berkaitan penulisan kata tunggal bagi suku kata terbuka dan suku kata tertutup. Seramai 65 orang peserta telah menyertai kursus ini secara dalam talian menerusi pautan google meet yang disediakan oleh pihak ILIM.

Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan kemahiran kepada para peserta khususnya dalam kemahiran ejaan jawi serta penguasaan penggunaan huruf dalam penulisan jawi dengan betul dan tepat.

Kursus Kemahiran Ejaan Jawi siri 1 2021 1

Sumber berita dari Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/876-kursus-kemahiran-ejaan-jawi-siri-1-2021