Kurator Berita : Bahagian Dakwah
2 – 3 Oktober 2021, Sabtu & Ahad, Pulau Perhentian – Beberapa Agensi Agama di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama sektor awam dan swasta berkolaborasi dalam Program Ziarah Musa’adah Menyantuni Asnaf dan Penduduk di Pulau Perhentian, Terengganu.

Program ini diketuai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disertai oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan MAIWP, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Cawangan Terengganu. Turut menyertai misi bantuan ini Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (Wakil Tetap SDK JAKIM), dan Agensi Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Mufti Terengganu, Pejabat YB Kuala Besut, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pegawai Takmir Negeri Terengganu.

Program ini dihadiri dan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Mohammad bin Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri. Ketua-ketua agensi yang menghadiri majlis perasmian program di Jeti Pulau Perhentian iaitu YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YB Tengku Zaihan bin Che Ku Abd. Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, SS Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri bin Haron, Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Mohamad Ridwan bin Mohd. Nor, Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Encik Mohd. Kamarul bin Ismail, Wakil Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Tuan Haji Ruslan bin Said, Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAKIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Haji Omar bin Mohamed, Penolong Pengurus Besar, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (Wakil Tetap Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM), Puan Kartina binti Ahmad, Pengurus YaPEIM Terengganu dan Encik Zainudin bin Mohd, Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Perhentian, Terengganu.

Program Ziarah Musaadah Penduduk Pulau Perhentian 1

Program Ziarah Musaadah Penduduk Pulau Perhentian 2

Penyerahan replika cek sumbangan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad sebanyak RM30,000.00 disampaikan oleh Tuan Haji Omar bin Mohamed, Penolong Pengurus Besar, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad kepada Encik Zainudin bin Mohd, Pengerusi Penduduk Pulau Perhentian. Manakala, sumbangan daging segar sebanyak 250 peket disampaikan oleh Puan Kartina binti Ahmad, Pengurus YaPEIM Terengganu untuk agihan kepada para penduduk dalam majlis serba ringkas pada sebelah petang.

Selepas itu, program ini diteruskan dengan menziarahi lima (5) keluarga penduduk terpilih di sekitar kawasan kejiranan penduduk pulau. Sumbangan bantuan musa’adah ini disampaikan kepada 51 buah keluarga yang dijangkiti Covid-19, 60 keluarga asnaf dan 30 petugas barisan hadapan.

Program Ziarah Musaadah Penduduk Pulau Perhentian 3

Pada sebelah malam, selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah, slot pengisian rohani penawar jiwa disampaikan oleh SS Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri bin Haron, Mufti Kerajaan Negeri Terengganu bersama penduduk pulau di Masjid Al-Rahman, Pulau Perhentian. Selepas solat Isya, majlis ringkas penyerahan replika cek sumbangan untuk program pengimarahan masjid disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee (TKPO) JAKIM kepada Pengerusi Masjid Al-Rahman, Pulau Perhentian sebanyak RM2,000.00.

Program Ziarah Musaadah Penduduk Pulau Perhentian 4

Keesokan hari, program diteruskan dengan solat Subuh berjemaah, kemudian disambung dengan Kuliah Subuh disampaikan oleh SS Dr. Mufti sebagai santapan rohani kepada delegasi rombongan dan para penduduk pulau.

Program ziarah musa’adah ini, diharapkan dapat menyuntik semangat serta jalinan ukhuwwah saudara-saudara kita penduduk pulau yang terkesan akibat pendemik Covid-19, dan usaha ini adalah sebagai bukti keperihatinan dan kebersamaan pihak kerajaan dalam gerak kerja kolaborasi bersama agensi persekutuan dan negeri serta sektor swasta dalam usaha meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka.