Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Program Citra Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H bersamaan 2021 M dengan tema “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” diadakan pada 18 Oktober 2021 bertempat di Dewan Damar Sari F8, Kompleks F, Putrajaya. Program berdurasi 1 jam 30 minit tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM bermula jam 9 malam hingga 10.30 malam.

Antara highlight utama program tersebut ialah Titah Khas Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan Pengumuman Penerima Anugerah. Pada tahun ini seramai tujuh (7) individu telah dinobatkan sebagai penerima anugerah iaitu YBhg. Dato’ Dr. Haji Suhaini bin Kadiman (Anugerah Perdana), YBhg. Datin Dr. Paizah binti Haji Ismail (Anugerah Maulidur Rasul), Tuan Syeikh Haji Zakaria bin Othman (Anugerah Maulidur Rasul), Tuan Haji Alwi bin Haji Morshidi (Anugerah Maulidur Rasul), Tuan Haji Ali Hassan bin Mohd Hassan (Anugerah Maulidur Rasul), Tuan Haji Mohd Zaini bin Mat Abas (Anugerah Maulidur Rasul) dan Encik Mohd Amin bin Nasir (Anugerah Maulidur Rasul). Setiap penerima menerima hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil penghargaan sumbangan Kerajaan.

Program berkonsepkan bicarawara agama ini dihoskan oleh Ustaz Nabil Ahmad, Terrence Dass Abdullah dan Heliza Helmi. Diskusi khas ini membawa mesej mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan bagaimana sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam menyebar luas dan mempertahankan Islam menjadi acuan dan model kepada pembentukan masyarakat sejahtera, aman damai merentasi sempadan agama, ras, keturunan dan bangsa, sekaligus menjadi kesinambungan peradaban Islam di Malaysia.

Program turut diserikan tayangan video khas ‘Sollu’ terbitan TV Alhijrah dan persembahan khas Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar, Faizal Tahir dan Kumpulan UNIC. Program diakhiri dengan persembahan selawat, gabungan artis yang terlibat pada malam tersebut.

Program Citra Cinta Rasul Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H 1

Program Citra Cinta Rasul Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H 2

Program Citra Cinta Rasul Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H 3

Program Citra Cinta Rasul Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H 5